Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia bawa mesej penting

A
A

ISU menyentuh sensitiviti umat Islam serta orang Melayu di negara ini secara amnya menjadi asas kepada penyatuan pelbagai pihak termasuk parti politik untuk bermuzakarah dan masa sama mencari titik persefahaman serta keputusan menerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) yang bakal berlangsung pada 17 Ogos akan datang.

Bagi mengetahui intipati dan asas sebenar penganjuran Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia ini, wartawan Sinar Harian Muhammad Aminuralif Mohd Zoki dan Izwan Rozlin berpeluang menemubual Pengarah Yayasan Belia Malaysia (YBM) yang juga Pengerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M), Mustaffa Kamil Ayub di Pusat Belia Antarabangsa Cheras baru-baru ini.

Bagaimana permulaan tercetusnya idea penganjuran Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia?

MUSTAFFA: Terima kasih kerana mewawancara saya bagi mempromosi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia, saya ungkapkan secara ringkas idea ini di bawah Yayasan Belia Malaysia (YBM) telah berbincang bersetuju untuk melaksanakan program ini Insya-ALLAH pada 17 Ogos 2019 dan kita telah mengundang Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mencemar duli bagi merasmikan himpunan kita ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

Untuk itu kita juga merangka beberapa program awal perbincangan meja bulat, yang pertama kita telah adakan pada 13 April lalu dengan tema 'Malaysia Baharu: Di Mana Generasi Muda Muslim'. Melalui perbincangan meja bulat ini lima panel telah berbincang termasuk beberapa panel yang lainnya antaranya Tan Sri Ahmad Syah, Pengerusi Safwan Grup juga Datuk Nazri Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan beberapa tokoh lain.

Apakah isi utama penganjuran meja bulat ini yang menjadi asas utama kepada Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia ini?

MUSTAFFA: Melalui meja bulat ini kita berbahas soal di mana belia Muslim di dalam era Malaysia Baharu yang diungkapkan sempena setahun. Kita ingin menilai membuat perspektif di mana kedudukan belia Muslim, satu perbahasan yang menarik berlaku dalam perbahasan meja bulat itu yang dihadiri pimpinan dari pelbagai latar belakang. Isi utamanya adalah bagaimana untuk melahir dan melakarkan soal ekonomi atau politik orang Melayu yang kita lihat pada dasarnya hari ini diwakili lima parti utama sama ada UMNO, Pas, Bersatu, Amanah dan PKR.

Kelima parti ini terdapat dalamnya komponen Melayu yang cukup besar, dan kata sepakat diambil apabila kita merasakan ada keperluan untuk dibina persefahaman supaya politik tidak berterusan dan masa sama selepas pilihanraya agenda membela rakyat itu perlu jadi keutamaan.

Jadi perbincangan meja bulat kedua akan dilakukan pada 11 Julai akan datang ini dengan mengundang Tengku Razaleigh Hamzah bekas menteri kewangan dan Tun Daim Zainuddin sebagai speaker dan juga beberapa panel lain.Kesemua input yang kita kumpulkan pada kedua meja bulat ini kita akan bawakan ke Himpunan nanti pada 17 Ogos akan datang ini.

Apakah intipati utama kepada penganjuran Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M)?

MUSTAFFA: Kita akan membincangkan apa yang menjadi keresahan rakyat terutamanya Muslim di Malaysia ini dan beberapa siri program dan wacana kepimpinan berhikmah akan diadakan bagi merungkai keresahan rakyat itu dan ini kita akan lancar selepas raya nanti.

Insya-ALLAH beberapa tokoh akan dijemput untuk kita akan bahas soal bagaaimana untuk ambil hati rungkai keresahan rakyat pada hari ini. Ini merupakan perkara penting kerana kita tidak mahu kepimpinan yang terlalu berpolitik pada setiap masa tetapi seharusnya selepas PRU kita lebih fokus bina masyarakat serta kebajikan dan kehidupan rakyat.

Sebab itu kita fikir perlu adanya nilai pemimpin yang bertimbang rasa, mempunyai visi dan misi membela rakyat dengan begitu jelas dan sentiasa ambil pendekatan sederhana dan sentiasa melihat natijah terbaik dalam setiap tindakan.

Hasil daripada semua pandangan itu kita akan bentangkan dan ketengahkan. Masa sama kita akan lihat ruang penambahbaikan yang boleh diambil dan paling utama bagaimana untuk kita bina negara kita ini semula. Kita sasarkan kehadiran seramai 1,000 peserta untuk himpunan ini dan Alhamdulillah, dalam persidangan meja bulat pertama kita telah menerima kehadiran seramai 50 peserta dan untuk persidangan meja bula seterusnya kita mendapat kehadiran seramai 100 peserta.

Tuan mengungkapkan mengenai keresahan rakyat dewasa ini, apakah bentuk dan ciri keresahan itu?

MUSTAFFA: Terdapat beberapa keresahan utama yang sedang dihadapi rakyat Malaysia terutamanya Bumiputera iaitu yang pertama persoalan kos sara hidup meliputi soal hutang PTPTN, harga barang dan perkhidmatan, yang terus bebankan rakyat. Ditambah pula dengan kadar pengangguran meningkat kemudian dalam kalangan Melayu Bumiputera juga jumlah bankrupsi meningkat disebabkan hutang hutang mereka.

Keresahan ini turut sama memberi kesan kepada masyarakat di luar bandar apabila keruntuhan harga komoditi yang rendah terutamanya harga kelapa sawit getah mengakibatkan kehidupan makin tertekan dan paling penting keresahan ini nyata perlu ditangani supaya tidak terulangnya pengalaman di negara luar Sudan, Pakistan dan beberapa negara lain.

Jadi kita perlu tangani lebih awal supaya hak pegangan kaum dan mencetuskan hal tidak diingini dan saya fikir himpunan ini merupakan platform merapatkan hubungan dengan generasi muda supaya kita tangani isu ini punca keresahan yang ada disebabkan kos sara hidup.

Kemudiannya, saya fikir keresahan rakyat itu bangkit kerana dalam politik yang ada masyarakat adalah pendokong pengundi yang ada menentukan kerajaaan di Putrajaya itu sekadar 30 peratus Melayu manakala 70 peratus lagi ada di sektor pembangkang. Ini satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam senario politik Malaysia yang menjadi kekhuatiran terutamanya orang Melayu.

Bagi orang Melayu kestabilan dan legitimasi kerajaan di Putrajaya itu dapat diwakili suara dan inspirasi orang Melayu jadi paling tidak ada persepi dan kekhuatiran perlu ditangani dileraikan keresahan tersebut dan ini adalah penting.

Apakah sebenarnya isu penting yang mengakibatkan tertimbulnya keresahan sedemikan rupa?

MUSTAFFA: Persoalan membabitkan percubaan merobek menyerang perlembagaan terutama yang membabitkan hak istimewa Melayu termasuk konteks keseluruhannya termasuk merungkai perjanjian Jus Soli, perjanjian antara kaum menjelang kemerdekaan negara 1957 dan ini menyebabkan sejumlah rakyat merasakan kepentingan perjanjian Jus Soli perli dipertahankan dan beberapa elemen penting dalam perlembagaan isu raja raja kedudukan istimewa Melayu, agama Islam dipertahankan jadi bila ada percubaan semacam untuk merungkai dan merobeknya wuJud keresahan kepada sejumlah besar rakyat terutama di kalangan orang Melayu.

Tanggapan adakah melayu masih perlukan tongkat, ada yang berpandangan lebih 60 tahun Merdeka, Melayu tidak perlu lagi tongkat, tidak perlu lagi motivasi, ada yang mempersoalkan adakah hak yang ada digunakan sebaiknya atau ada penyalahgunaan atau berlaku ketirisan, saya lihat perlu ada satu pemikiran agenda bagaimana merungkai keresahan dakwaan berkaitan segala dakwaan tersebut.

Saya kira perlu ditangani sebaik mungkin supaya rakyat tidak tenggelam punca dan rakyat tidak dibuai oleh sentimen yang tidak berasas supaya perlu dirungkai keresahan dalam soal tersebut dan sekaligus membina permuafakatan yang baharu.

Siapakah yang bakal terlibat dalam Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) ini?

MUSTAFFA: Himpunan ini menggabungkan semua, kita akan undang juga perwakilan daripada negara Asean, dan kita merancang sejumlah besar wakil dari parti politik akan hadir, dan bukan sekadar semasa himpunan malah untuk persidangan meja bulat juga kita turut fokus kepada parti politik terutama lima parti teras yang saya nyatakan tadi.

Setakat yang diadakan persidangan meja bulat sebelum terlaksananya Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) ini, bagaimana maklum balas daripada pihak yang terlibat?

MUSTAFFA: Macam meja bulat pertama banyak NGO Muslim Melayu saya tengok ada beberapa isi penting yang terungkap hasil daripada pertemuan sedemikian. Selain itu pelbagai percambahan minda yang didapati dan paling penting semua pihak tunjuk keprihatinan bila ada pertemuan sedemikian rupa. Saya fikir yang meja bulat kedua ini kritikal sebab akan ada parti parti politik jadi kita rapatkan dahulu di peringkat sayap pemuda yang ada sekurangnya ada mesyuarat persefahaman dan kerangka besar penbinaan negara.

Adakah himpunan ini akan beri fokus kepada isu yang melibatkan Islam sejak akhir akhir ini?

MUSTAFFA: Ya, kita akan melibatkan dan fokus kepada orang Melayu Islam sebab kita lihat hari ini yang paling resah adalah orang Melayu sebab di kalangan Cina agak solid bernaung di bawah satu parti tapi Melayu terpecah malahan sokongan yang bentuk kerajaan 30 peratus jadi 70 peratus lagi berada di pembangkang.

Bagaimana hasil himpunan yang akan diadakan ini nanti?

MUSTAFFA: Akan ada resolusi hasil daripada himpunan ini, dan kita akan adakan sekretariat dan akan diperluaskan ke seluruh negara. Kita akan pastikan idea penting yang didapati daripada himpunan ini akan disebar luas, mana-mana cadangan akan dimajukan kepada kementerian serta pihak-pihak berkenaan supaya resolusi dan rumusan yang ada dikembangkan dan tema paling penting kesefahaman baru dan paling penting merungkai muafakat baru kesefahaman baru serta keresahan rakyat.

Mengapakah agenda utamanya adalah Muslim dan kenapa tidak melibatkan semua?

MUSTAFFA: Berbalik kepada saya ungkapkan, tema positif untuk kita bina masyarakat kita dalam dalam abad 21 ini untuk kita kembalikan kegemilangan negara yang agak tercalar beberapa tahun ini, kita fokus Muslim dulu kerana ini tonggak kerana jika umat Islam di negara ini berjaya disatukan barulah politik akan lebih stabil.

Mesti ada pihak tidak puas hati

Mustaffa berkata Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia ini pasti akan menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.

Menurut beliau perkara itu akan ditangani dan pihak sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Memang ini satu medan yang kadang orang rasa tercabar tapi Insya -ALLAH, pendekatan kita ini kita mahu mewujudkan platform untuk bertemu serta bercambah fikiran.

"Jadi sebagai orang tengah kita cuba pujuk duduk sekali bincang dan gerak ke hadapan, pilihan ditangan kita dan mahu anak muda fikirkan mengenai soal kepimpinan berhikmah," katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang ini perlu melihat kepada konsep demokrasi yang nyata, tak semestinya yang menang itu akan sapu habis, yang kalah persetankan segalanya.

"Semangat demokrasi kita perlu gerakkan dan ketengahkan semangat muafakat dan persefahaman baharu. Kita sejak sekian lama dibahagikan daripada segi ideologi politik, berpolitik biarlah berpada," katanya.

Katanya lagi, paling utama adalah menghadapi cabaran antarabangsa yang lebih besar, keresahan yang berpanjangan yang dirasakan rakyat akan memberikan impak yang bahaya kepada negara.