Duta AS ke Israel cetus provokasi baharu

Projek peluasan penempatan haram Yahudi mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa. Gambar kecil: David Friedman.
Projek peluasan penempatan haram Yahudi mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa. Gambar kecil: David Friedman.
A
A
A

WASHINGTON - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, David Friedman mengundang kecaman masyarakat antarabangsa selepas beliau secara melulu menyatakan Israel berhak untuk menguasai sebahagian kawasan Tebing Barat, sekali gus mengulangi kenyataan sama dibuat Presiden Donald Trump.

“Di bawah situasi tertentu, saya berpendapat Israel ada hak ke atas beberapa kawasan di Tebing Barat,” katanya menerusi wawancara diterbitkan New York Times semalam.

Friedman juga dengan lantang mengutuk pentadbiran bekas Presiden Barack Obama yang kononnya melakukan pelanggaran secara terang-terangan kerana membenarkan resolusi PBB pada 2016 yang mengutuk projek penempatan haram Israel yang memberikan hak kepada penduduk Palestin.

Sebelum ini, pentadbiran Obama menganggap pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin dan peluasan projek penempatan haram Yahudi sebagai halangan kepada usaha damai di Timur Tengah.

Dalam wawancara itu, Friedman juga menuduh pemimpin Palestin cuba memberi tekanan kepada negara Teluk supaya tidak menghadiri persidangan di Bahrain pada akhir bulan ini selepas mereka mendakwa pelan damai Trump digelar ‘deal of the century’ sebagai berat sebelah dan muslihat untuk menjual hak Palestin.

Palestin melihat Tebing Barat sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya pada masa depan.

Awal tahun lalu, Trump telah mengisytiharkan kedaulatan Tel Aviv ke atas Bukit Golan yang diduduki rejim Zionis sejak 1967 selepas ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel pada Disember 2017.

Sebagai respons, beberapa pemimpin Palestin bertindak menyelar kenyataan Friedman yang dilabel sebagai ‘jurucakap’ rejim Israel kerana cuba memanipulasi kebenaran serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Kenyataan beliau melanggar dasar yang dipersetujui untuk mewujudkan negara Palestin merdeka dan keamanan serta kestabilan serantau,” kata jurucakap gerakan Fatah, Usameh al-Ghawasimi.

Gerakan Hamas turut sependapat dengan Fatah yang mendakwa ia jelas mencerminkan pandangan ekstremis kepimpinan Washington tentang isu tersebut.

“Kenyataan Friedman konsisten dengan pandangan kebanyakan pemimpin berhaluan kanan Israel,” ujar jurucakap Pejabat Hubungan Antarabangsa Hamas, Basem Naim. - Agensi