India tawar ganjaran wang tunai cari pesawat tentera hilang

Pesawat AN-32 milik tentera India hilang dari radar pada Isnin lalu.
A
A

NEW DELHI - Pihak berkuasa India semalam menawarkan ganjaran tunai bagi mengesan kapal terbang tentera yang hilang hampir seminggu lalu.

Pesawat berkenaan dikhuatiri terhempas di timur laut negara berkenaan.

Tentera Udara India dan kerajaan negeri Arunachal Pradesh mengumumkan ganjaran 550,000 rupee (RM32,877) untuk mencari AN-32 yang hilang dari radar pada Isnin lepas.

Semasa kejadian pesawat itu membawa 13 orang penumpang.

Pesawat Soviet itu hilang di sempadan China dan pencarian udara, tinjauan satelit serta usaha mengambil isyarat dari pesawat semuanya gagal.

Angkatan Udara berkata, pihaknya akan memberi 500,000 rupee dan kerajaan negeri menawarkan 50,000 untuk maklumat yang boleh dipercayai yang membawa kepada penemuan pesawat berkenaan.

Tentera India telah mengerahkan sembilan helikopter, jet pejuang dan transporter untuk mencari pesawat berkenaan.

Pencarian tanah tertumpu di daerah Siang dan melibatkan polis, angkatan udara serta tentera, polis sempadan Indo-Tibet, pasukan pentadbiran awam dan beberapa penduduk setempat.

Seorang pegawai tanah memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa mahu lebih ramai ketua kampung terlibat.

Cuaca buruk telah menjejaskan pencarian dalam beberapa hari kebelakangan ini tetapi telah bersambung semalam.

Pesawat berkenaan membawa lapan krew dan lima anggota tentera. - AFP