X

Kindly register in order to view this article
!

Pas Kelantan khianati amanah perantau

Muhammad Amiin
A
A

PASIR MAS - Kerajaan Pas Kelantan mengkhianati undi 'kemenangan' yang diberi oleh perantau pada PRU14 lalu apabila masih gagal menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini terutama pada musim perayaan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berkata, kerajaan negeri sepatutnya malu apabila masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang langkah yang diambil untuk menyelesaikannya.

"Bila gagal selesaikan isu ini, ia seolah-olah mengkhianati perantau yang telah memberikan sokongan penuh kepada Pas untuk mentadbir negeri ini.

"Jadi saya harap kerajaan negeri tidak terus mengamalkan sikap lepas tangan dan menuding jari kepada mana-mana pihak di atas kegagalan menyediakan perkhidmatan air kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, rakyat Kelantan sudah lama menderita setiap kali berdepan dengan masalah air.

Katanya, bekalan yang sering terputus, berwarna kuning, berkeladak dan tekanan rendah sudah menjadi sebahagian daripada darah daging rakyat Kelantan.

"Hentilah bercakap soal politik, carilah jalan terbaik untuk atasi masalah ini.

"Hendak ambil wuduk pun susah, apatah lagi untuk mandi. Tambahan pula di musim perayaan," katanya.

Muhammad Amiin yang juga Ketua Pemuda Bersatu Pasir Mas berkata, ada sesetengah penduduk terpaksa menggali telaga untuk mendapatkan sumber air.

Katanya, bukan itu sahaja, penduduk turut menjadikan masjid dan surau sebagai 'sumber' air untuk kegunaan di musim perayaan termasuklah harian.

"Rakyat Kelantan telah memilih kerajaan negeri yang layak untuk membantu mereka tetapi sewaktu rakyat memerlukan bantuan, maka pihak bertanggungjawab haruslah turun padang melawat rumah-rumah yang mempunyai gangguan bekalan air.

"Bukan hanya memekakkan telinga setiap kali aduan atau masalah bekalan air dibuat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus