Sambut baik hasrat DBP kaji sejarah Johor

Gambar kecil: Mohd Khuzzan
Gambar kecil: Mohd Khuzzan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menyambut baik hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan untuk mengkaji lebih lanjut tentang Kesultanan Melayu Johor, tamadun dan peradaban Melayu Nusantara.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, beliau sendiri sudah berjumpa dengan Pengarah DBP Wilayah Selatan, Abang Haliman Abang Julai sebelum ini yang menyatakan minat untuk membuat kajian itu.

"Dia berminat dan bercadang untuk mengadakan satu terbitan mengenai Kesultanan Melayu Johor. Di Muzium Kota Tinggi, di situ pun kita sudah dapat secara jelas (penceritaan sejarah).

"Maksudnya penceritaan itu sudah ada. Ini pun salah satu daripada kenapa DBP nak buat. Sebab DBP sudah nampak (penceritaan) sejarah itu kita sudah sediakan di Muzium Kota Tinggi," katanya pada sesi temubual khas di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat DBP Wilayah Selatan menubuhkan pasukan pembinaan dan penggalakan penerbitan untuk mengkaji lebih lanjut tentang Kesultanan Melayu Johor, tamadun dan peradaban Melayu Nusantara.

Hasrat itu adalah lanjutan kepada program Kembara Sejarah yang diadakan DBP setiap tahun bagi memberi peluang kepada peserta terlibat meneroka dengan lebih jelas dan jauh akan sejarah perjuangan terdahulu yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup.

Mohd Khuzzan berkata, dengan adanya penceritaan di muzium tersebut DBP Wilayah Selatan boleh meneruskan hasrat untuk membuat kajian tentang Kesultanan Melayu Johor, tamadun dan peradaban Melayu Nusantara.

Selain itu, beliau juga akan bekerjasama dengan Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung bagi meningkatkan kehadiran pengunjung ke kawasan bersejarah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan bekerjasama dengan Exco Pelancongan untuk memastikan bahawa tempat-tempat bersejarah ini, dapat kita bawa pelancong.

"Setakat ini, kalau kita lihat pihak pemandu pelancong banyak bawa ke tempat pusat beli belah dan taman tema, tapi tidak sampai ke tempat bersejarah walaupun kita tahu Johor kaya dengan sejarahnya," katanya.