Farah Nabilah wajib balik Kelantan

Farah Nabilah - Foto ROSLI TALIB
Farah Nabilah - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

AIDILFITRI sememangnya sesuatu yang cukup dinantikan pelakon, Farah Nabilah, 27, saban tahun kerana ketika inilah dia dan keluarga berkesempatan untuk berkumpul bersama sanak-saudara.

Sementelah sambutan hari raya di kampung halaman kedua ibu bapanya di Bachok, Kelantan begitu meriah dengan pelbagai juadah dan aktiviti raya yang dirancang bersama.

“Tahun lepas saya dan keluarga beraya di Kuala Lumpur kerana mahu merasai pengalaman raya di sini setelah setiap tahun pulang ke Kelantan.

“Namun keputusan tersebut akhirnya buat kami menyesal kerana rasa macam tak beraya kerana kami banyak menghabiskan masa di rumah. Pagi pakai baju raya, petang dah tukar baju biasa.

“Nak pergi beraya rumah saudara-mara di sini pun mereka semua balik kampung. Jadi pada tahun ini kami pastikan satu keluarga balik beraya di Kelantan dan raikan Syawal dengan meriah bersama sanak-saudara di sana,” ujar Farah.

Berkongsi kemeriahan raya di Kelantan, kata heroin yang mula dikenali menerusi drama Titian Cinta ini, meskipun tahun berganti tahun sambutan raya di sana tetap menyeronokkan.

“Saudara-mara saya di Kelantan sangat ramai. Kalau dah adik beradik ibu saya seramai 12 orang, ayah pula enam orang, cuba bayangkan berapa ramai sepupu dan saudara-mara lain akan berkumpul bersama.

“Apa yang best beraya kat Kelantan, mereka raya bersungguh-sungguh. Meraikan tetamu yang datang dengan macam-macam juadah. Setiap hari ada sahaja rumah terbuka dari pagi sampailah ke malam.

Artikel Berkaitan:

“Tapi yang tak best duit raya pun banyak keluar kerana budak-budak semua demand nak duit raya banyak. Katanya sebab saya artis dan muka selalu keluar TV jadi kena bagi duit raya lebih,” cerita Farah sambil ketawa.

Raya solo terakhir

Menurut Farah lagi, apa yang paling menyeronokkan buatnya apabila dapat menyediakan juadah di dapur bersama sepupu di kampung.

“Bila balik raya, kami semua yang perempuan memang suka masak bersama. Sebab itulah masing-masing akan balik dua-tiga hari lebih awal sebelum raya.

“Bukan sahaja buat biskut raya sendiri tetapi juadah utama untuk makan pagi raya juga kami sama-sama buat.

“Semua orang akan tunjuk skil kat dapur dan seronok masak untuk dijamu kepada tetamu yang datang. Bila buat ramai-ramai memang meriahnya lain macam,” kongsi Farah yang cukup menggemari menu nasi dagang sebagai juadah utama.

Bercerita tentang kenangan raya yang sentiasa berada dalam ingatannya, Farah yang juga anak sulung daripada enam beradik ini mengakui sering terkenangkan saat beraya bersama arwah nenek yang telah meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

“Waktu kecil dulu raya tentunya lebih seronok kerana nenek masih ada. Apatah lagi saya adalah salah seorang cucu kesayangan.

“Setiap kali nak raya, nenek akan belikan barang kemas untuk dipakai bila raya nanti.

“Walaupun nenek dah lama tak ada tetapi kenangan bersamanya tetap saya ingat sampai hari ini. Sekarang rumah arwah nenek dijaga oleh salah seorang makcik saya. Jadi bila raya, kami akan berkumpul di sini ramai-ramai beraya bersamanya,” imbas Farah yang pulang ke Kelantan tiga hari sebelum raya.

Dalam pada itu, Farah secara berseloroh turut menyatakan harapannya agar tahun ini menjadi tahun terakhir beraya sebagai gadis single. Biarpun belum ada ketetapan namun Farah mengharapkan agar dipermudahkan jodoh.

“Jujurnya saya tak kisah pun bila saudara-mara kat kampung tanya bila nak kahwin kerana ia memang antara soalan biasa yang akan ditanya kepada anak-anak perempuan bila lama tak jumpa.

“Saya sendiri pun ada fikirkan tentang itu dan mengharapkan agar jodoh saya dipermudahkan. Kalau boleh biarlah tahun ni jadi tahun terakhir beraya single,” katanya kepada Sinar Harian.