Sedekah kita untuk siapa?

A
A
A

PADA bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang berlumba-lumba untuk bersedekah. Anak-anak yatim adalah antara yang paling sibuk kerana ramai yang ingin menyantuni mereka sehingga pihak berkenaan perlu menempah tarikh lebih awal terutama untuk jemputan iftar.

Sedekah ialah pemberian seseorang kepada orang lain secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi waktu mahupun jumlah. Sedekah jariah merupakan bukti iman dan ketaatan manusia pada ALLAH SWT kerana ia dilakukan dengan hati dan jiwa yang ikhlas tanpa sebarang paksaan. Sedekah juga tidak semestinya semata-mata dalam bentuk wang ringgit atau harta benda tetapi juga seperti menolong orang lain dengan tenaga dan fikiran, mengajarkan ilmu, bahkan memberikan senyuman kepada orang lain.

Nabi SAW bersabda: “Kamu menyingkirkan batu, duri dan tulang dari tengah jalan itu adalah sedekah bagimu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Senyummu kepada saudaramu adalah sedekah." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Konsep sedekah dalam Islam itu begitu luas. Sebenarnya, orang yang bersedekah itu bukanlah hanya membantu pihak yang menerima sedekah tetapi manfaat yang lebih besar adalah bagi mereka yang bersedekah itu sendiri. Mereka yang gemar bersedekah sememangnya sungguh beruntung. Banyak ayat al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW yang menerangkan kelebihan bersedekah.

Antaranya bersedekah dapat menghilangkan rasa cinta terhadap harta yang bukannya milik kita pun. Segala harta yang kita rasakan kita kumpul daripada titik peluh kita sendiri sebenarnya adalah milik ALLAH SWT dan ALLAH boleh menarik atau mengambil semuanya kembali pada bila-bila masa sahaja. Harta sebenar kita ialah harta yang kita sedekahkan. Ganjaran bersedekah pula ialah sebanyak 700 kali ganda sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud,

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), ALLAH melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan ALLAH Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Selain itu, orang yang bersedekah akan beroleh keberkatan pada hartanya. Malah, Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya, "Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, ALLAH tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambah dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan ALLAH melainkan akan diangkat darjatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Artikel Berkaitan:

Saya bersama beberapa sahabat berkesempatan melakukan ziarah kebajikan ke beberapa tempat di sekitar daerah Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat pada bulan Ramadan lalu. Keutamaan diberikan kepada mereka yang terlantar sama ada disebabkan serangan angin ahmar ataupun kemalangan jalan raya yang mengakibatkan pendarahan otak. Kebanyakan yang terpaksa melalui pembedahan otak sebegini hanya mampu terbaring sepanjang masa.

Mereka tidak dapat makan seperti manusia normal dan perlu minum susu khas yang berharga RM85 satu tin. Keperluan masing-masing berbeza. Bagi yang dewasa, ia bergantung kepada berat badan serta saranan doktor. Ada yang perlu minum susu satu tin sehari. Bagi yang mempunyai saiz badan yang kecil, satu tin susu mungkin boleh menampung keperluan dua hari. Dalam kes sebegitu pun, RM1,275 diperlukan untuk 15 tin susu sebulan.

Tambah menyedihkan, ramai dalam kalangan mereka yang diuji sebegini berpendapatan rendah. Antaranya, seorang remaja lelaki yang terlantar sejak lapan tahun lepas. Dia merupakan anak kedua daripada 10 orang adik-beradik. Ibunya tidak bekerja manakala bapanya pemandu lori sayur. Bagi keluarga lain yang dilawati, ada yang bekerja kampung dan ada yang bekerja buruh.

Jika mereka diuji dengan kesusahan, kita pula diuji sama ada sanggup atau tidak untuk bersedekah bagi melapangkan beban mereka. Saya menyeru diri saya sendiri dan orang ramai agar kita sama-sama berusaha meraih keberkatan hidup ini dengan bersedekah. Bersedekahlah walaupun kita dalam kesempitan.