Kerjasama ulama dan umara

A
A
A

NEGARA memerlukan paduan persefahaman antara umara dan ulama. Kerjasama mantap antara ulama dan umara bagi membangunkan negara ada diperuntukkan sama ada dari aspek pembangunan ataupun spiritual.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan.

Peruntukan jadual kedua bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Berdasarkan Perkara 39 di atas, umara sebenar di negara kita ialah Yang di-Pertuan Agong manakala jemaah menteri membantu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab berperlembagaan baginda melalui tindakan-tindakan jemaah menteri tersebut.

Dalam ertikata lain Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan (Raja-Raja Melayu di peringkat negeri) bersama-sama jemaah menteri di peringkat Persekutuan (Exco kerajaan di peringkat negeri) dan para pentadbir yang lain merupakan umara dalam sistem perundangan negara.

Peranan alim ulama tidak harus dikesampingkan kerana merekalah yang akan menasihati para umara agar tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar iaitu hukum syarak. Hal yang demikian, sangat jelas apabila dimaktubkan dalam undang-undang peranan alim ulama itu umpamanya dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004.

Seksyen 6 Enakmen tersebut memperuntukkan Majlis Agama Islam hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam dalam negeri Perak Darul Ridzuan, manakala Mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak (Seksyen 34) dan pentadbiran keadilan dalam Islam pula dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah (Seksyen 50).

Jelaslah di sini peranan alim ulama sangat penting dalam segala aspek berkaitan dengan agama Islam itu sendiri sama ada di peringkat negeri ataupun persekutuan. Alim ulama dan pemimpin bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bukan bersaing sesama mereka.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat legislatif persekutuan sudah pasti ramai yang tahu bahawa terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara. Keanggotaan dewan ini adalah berbeza iaitu dalam kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasa seseorang.

Namun sejak dahulu kedua-dua dewan itu dimonopoli oleh individu daripada kalangan parti siasah sahaja. Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding dalam pilihan raya ataupun mereka yang tewas di dalam pilihan raya.

Pada pandangan saya, keahlian Dewan Negara seharusnya dilantik daripada kalangan ilmuan, pemimpin NGO, individu dihormati masyarakat, pemimpin masyarakat dan agama dan mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian termasuklah alim ulama.

Dengan cara itu barulah undang-undang yang digarap dapat dinilai daripada pelbagai aspek tidak hanya berteraskan kepada kacamata politik semata-mata.

Dalam merealisasikan kerjasama antara ulama dan umara peranan yang lebih besar harus diberikan kepada para ulama agar dapat memberikan sumbangan penting kepada negara.

Ulama juga perlu berprinsip melihat sesuatu perkara itu berdasarkan waqi' yang ada di dalam negara kita dan tidak terikat sepenuhnya dengan pandangan ulama silam secara total.

Bukanlah saya mengatakan ulama silam silap di dalam taakulan mereka mengenai suatu hukum tetapi mungkin pandangan mereka sesuai pada zaman mereka kerana perubahan persekitaran kita ini menuntut perubahan hukum itu sendiri bagi masyarakat hari ini.

Peranan ulama dan umara perlu dilaksanakan sebaiknya bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang. Umara memimpin ulama memastikan keutuhan aqidah terpelihara dalam pimpinan tersebut.

Tiga elemen utama perlu dipertautkan iaitu ulama, umara dan rakyat itu sendiri. Sekiranya ulama dan umara bergandingan maka rakyat juga yang akan menikmati kecemerlangan negara.

Walaupun pada zaman Rasulullah SAW istilah ulama dan umara ini disatukan kerana Rasullullah SAW tidak memimpin secara terjuzuk seperti keadaan sekarang ini tetapi realiti semasa yang memerlukan kalangan ulama dan umara bersesama di dalam membangun negara.

Kalau pada zaman Rasulullah SAW, baginda merupakan sumber rujukan hal ehwal negara dan juga agama, tetapi ketika ini kita memerlukan ulama dan umara sama-sama bergandingan memajukan negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presisden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)