Haqiem Rusli rindukan arwah datuk

Haqiem Rusli. - Foto Ihsan Media Prima
A
A

TIAP kali tibanya Lebaran, kita pasti tidak sabar untuk meraikan bersama orang yang dicintai, keluarga tersayang dan juga rakan-taulan.

Namun bukan semua yang penting di dalam hidup kita akan kekal bersama selamanya kerana telah dijemput Illahi.

Justeru yang tinggal hanyalah kenangan menyambut hari raya bersama insan yang disayangi.

Begitulah yang dirasai oleh penyanyi Haqiem Rusli, semenjak arwah datuknya, Haji Nordin meninggal dunia lebih tiga tahun lalu.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, hubungan dengan arwah datuknya cukup akrab kerana arwah telah menjaganya sejak kecil lagi.

"Arwah merupakan seorang penyanyi sejak zaman Jepun lagi. Arwah banyak berkongsi pengalaman dan cerita bersama saya serta sentiasa menyokong minat saya untuk menjadi penyanyi.

"Jadi kenangan bersama arwah itu bukan setakat ketika berhari raya sahaja, tapi lebih daripada itu dan bila tiba hari raya arwah adalah insan yang amat saya rindui," katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun sedih, namun selebriti berusia 21 tahun ini tetap bersyukur kerana dapat meraikan Aidilfitri dengan keluarga besar di sebelah ibunya di Hulu Langat, Selangor.

"Adik-beradik ibu saya ada 12 orang, jadi bila pagi raya semua akan berkumpul di rumah mak dan rumah kami atas bukit.

"Jadi suasana memang cukup meriah dan gamat sehinggakan kalau nak buat rumah terbuka, khas untuk keluarga sahaja pun dah ramai," jelasnya.

Haqiem Rusli. - Foto Ihsan Media Prima
Haqiem Rusli. - Foto Ihsan Media Prima

Sebagai selebriti dan berkongsi rezeki yang dimiliki, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jatuh Bangun ini turut memberikan duit raya kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

Malah Haqiem juga berasa puas kerana dapat membantu menyediakan kelengkapan raya buat keluarga tersayang.

"Saya percaya berkongsi rezeki itu baik, kalau kita ikhlas, lebih banyak kita beri, banyak juga yang kita dapat.

"Jadi saya ambil kesempatan untuk berkongsi rezeki saya dengan saudara mara dan juga tetamu yang berkunjung berhari raya di rumah," ujarnya yang juga merupakan duta Samsung dan kempen Setulus Ikhlas Media Prima, tahun ini.

Lebih positif

Sementara itu, berkongsi perkembangan seninya, Haqiem berkata, dia akan tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi yang berjudul Lembah Kesepian.

"Saya berharap lagu berentak balada itu akan dapat menempatkan saya ke pertandingan Anugerah Juara Lagu," ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, diminta mengulas perjalanan karier seninya, Haqiem berkata, kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini banyak mengajarnya untuk lebih positif dan matang.

Biarpun bimbang andai melakukan kesilapan lagi, namun dia beranggapan semua itu adalah lumrah sebagai manusia.

"Apa yang saya pelajari daripada kesilapan sebelum ini adalah jangan malu untuk meminta maaf dan juga memaafkan orang lain.

"Sebagai manusia biasa, kadang-kala kita tak sedar buat silap. Tapi jangan juga mendiamkan diri atau melenting, cuma hadapi semua itu dengan lebih positif," jelasnya.