Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan meninggal dunia

Mustaffa Daharun
A
A

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffa Daharun, 60, disahkan meninggalkan dunia di Hospital Jempol pada jam 8.12 pagi tadi, dipercayai akibat paru-paru berair.

SEREMBAN - Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffa Daharun, 60, disahkan meninggalkan dunia di Hospital Jempol pada jam 8.12 pagi tadi, dipercayai akibat paru-paru berair.

Anak kedua Allahyarham, Najmuddin Rabbani berkata, bapanya di bawa ke hospital selepas Subuh pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.

“Semasa dirawat doktor memaklumkan paru-parunya berair dan doktor memberikan bantuan pernafasan kepadanya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.12 pagi,” katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Padang Lalang, Jempol selepas Zohor.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Khairil Anuar Mohd Wafa berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka menghadiri pengebumian Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan sembilan orang anak.

Pada PRU 14 lalu, Mustaffa bertanding di Parlimen Jempol dan Dewan Undangan Negeri Ampangan, namun tewas.