Rahsia di sebalik gelandangan

Penulis menyamar sebagai gelandangan bagi menyelami kehidupan harian mereka.
Penulis menyamar sebagai gelandangan bagi menyelami kehidupan harian mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memasuki sebatang jalan raya di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur, mata tertancap kepada kumpulan manusia berbaring, berehat, bergurau senda bersama anak-anak.

Dalam hati timbul kesayuan. “Ramai juga gelandangan di Kuala Lumpur rupanya,” getus hati penulis.

Tiba-tiba mereka bingkas bangun, ramai-ramai menuju ke penghujung lorong. Oh, rupanya ada insan mulia datang menghulurkan sumbangan.

“Ada baju rayalah. Jom cepat,” laung seorang kanak-kanak lelaki memeriahkan suasana malam di lorong itu. Ramai juga pergi beratur.

Penulis yang berada di situ hanya memerhati gelagat anak-anak itu. Gembira sungguh mereka mendapat baju baharu.

“Mak, orang dapat baju baru. Cantikkan?,” kata Aishah (bukan nama sebenar) kepada ibunya, Rahmah (bukan nama sebenar juga).

“Cantik. Dah, pergi simpan sana,” balas Rahmah. Penulis kemudian menyapa Rahmah, seronok lihat anaknya dan dia gembira, bersyukur mendapat baju baharu.

Artikel Berkaitan:

Anak-anak gelandangan menerima sumbangan baju raya oleh NGO yang prihatin.
Anak-anak gelandangan menerima sumbangan baju raya oleh NGO yang prihatin.

“Kak, banyak ke dapat bantuan bulan puasa ni?,” soal penulis.

“Banyak jugalah, tiap-tiap malam akak bawa anak ke sini. Ada saja bantuan setiap malam. Seronok anak-anak,” katanya.

“Dah lama ke kak tinggal di tepi jalan macam ini?,” saya menyambung bicara.

“Tak lah, kak ada rumah di sini. Bawa anak sebab tahu ramai beri bantuan bila nak dekat raya,” jawab Rahmah.

Wah, terkejut saya mendengar jawapan ibu lapan anak itu. “Ramai ke buat macam itu?” soal penulis lagi.

“Ramai juga. Kak datang dengan kawan-kawan. Ada kat sana tu,” Rahmah menunjuk kawannya.

Selepas berborak beberapa minit, penulis panjangkan langkah bertemu rakan Rahmah. Dia hanya membahasakan dirinya Kak Jah.

Mulanya agak berat mulut namun bila sudah selesa barangkali, Kak Jah mula membuka kisahnya.

Pakar perubatan keluarga Dr Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul (tengah) ditemani teman-teman seperjuangan ketika membantu golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Pakar perubatan keluarga Dr Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul (tengah) ditemani teman-teman seperjuangan ketika membantu golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

“Memang ramai begitu. Tunggulah jam 2 lebih (2 pagi) nanti, kosong dah jalan ni. Semua dah balik lepas ambil sumbangan,” katanya.

Tambah Kak Jah, mereka buat begitu kerana mereka juga bukannya orang senang. Cuma nasib mereka sedikit bertuah berbanding gelandangan.

“Bila nak raya, kami pun selalu tak cukup wang. Hidup kami susah, nak beli baju raya baru pun tiada wang. Bila ada sumbangan sebegini, kami pun ikut sama.

“Tapi kami bukan ambil semua, kami ambil yang kami perlu saja. Kalau dapat lebih, kami pun kongsi dengan gelandangan, bukan sapu semua,” cerita Kak Jah.

Seorang lagi rakannya yang turut berada situ menambah: “Ada yang dapat bantuan tapi kadangkala tak cukup. Itu yang datang ke sini, mana tahu ada rezeki lebih,” kata Kak Ina.

“Tengoklah 2 lebih nanti dik. Mesti ramai dah tiada,” sampuk Kak Jah.

Penulis mengangguk dan memohon untuk beredar. Kedua-duanya melemparkan senyuman. Hidup mereka mungkin sukar namun pastinya, tidak sukar untuk mereka sentiasa tersenyum.

Selepas hampir dua jam, penulis kembali ke jalan tersebut. Benar kata Kak Jah, kosong! Hanya ada beberapa orang di sana, gelandangan sebenar barangkali. Ramai-ramai tadi hilang semuanya!

Rezeki penulis mungkin, kelihatan dua buah kereta di hujung lorong. Kelihatan juga beberapa orang mengangkat barang masuk ke dalam kereta. Tergesa-gesa pergerakan mereka, mahu cepat beredar mungkin.

Golongan gelandangan menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma. (Gambar kecil: Mohd Azizan)
Golongan gelandangan menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma. (Gambar kecil: Mohd Azizan)

Penulis cam mereka. Mereka lah yang beratur ambil bantuan sebentar tadi. Agaknya sudah ‘selesai misi’, mereka pulanglah ke rumah.

Terkejut juga penulis melihat situasi itu namun seperti kata Kak Rahmah, Kak Jah dan Kak Ina, mereka juga orang susah sebenarnya. Mungkin itu cara mereka mendapatkan sumbangan.

Justeru, penulis tetap bersangka baik. Tidak berada di tempat mereka, mana mungkin penulis memahami kesengsaraan mereka.

Jika benar-benar perlukan bantuan, tidak mengapa tapi jika berniat ambil kesempatan, jual pula barang sumbangan, berhentilah buat demikian.

Mereka susah, jangan disukarkan lagi hidup mereka.

Punca menyamar jadi gelandangan

Perasaan malu terpaksa ditepis demi mendapat bantuan dan ehsan, itulah yang dilalui oleh segelintir orang yang terpaksa menyamar menjadi gelandangan.

Menurut Pengasas Food For Gelandangan (FFG) Mohd Azizan Zainal Abidin, punca segelintir orang menyamar menjadi gelandangan kerana mereka ini terdiri daripada kelompok miskin bandar yang menghadapi masalah kewangan.

"Mereka (gelandangan palsu) adalah golongan miskin bandar. Kita tetapkan sempadan dan kami pergi kepada golongan sasar, anak kepada golongan miskin bandar, bukan gelandangan.

Suasana di Kuala Lumpur tempat gelandangan menerima sumbangan.
Suasana di Kuala Lumpur tempat gelandangan menerima sumbangan.

Sebenarnya mereka bukan gelandangan, sekadar miskin bandar.

"Kita kongsi bantuan dengan mereka, nampak ringkas tapi tujuan kita untuk berkongsi kasih sayang dengan mereka. Kami peduli, kami kisah dengan mereka, itu mesej yang nak disampaikan," katanya kepada Sinar Harian yang ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mempunyai cara tersendiri untuk kongsikan kasih sayang dengan kelompok berkenaan.

"Kita ada cara unik, tak perlu terpekik-terlolong, nampak tak beradab. Tidak, kita bukan begitu sebab kita dah lakukan aktiviti ini sejak lima ke enam tahun lepas.

"Inilah mesej yang kita nak sampaikan kepada orang luar. Kami rasa kami melakukan cara yang paling praktikal. Mereka yang sertai kami, ramai tidak mengenali sesama sendiri tapi kami tetap bersemangat membantu gelandangan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengasas FFG, Richard Wong berkata, pada awal program bantuan dikelolakannya, mereka memberikan makanan panas namun kemudian merasakan ia tidak begitu praktikal.

“Mulanya kita beri mereka makanan panas dan lepas itu kita putuskan tidak lagi beri makanan panas sebab kebersihan. Kita beri makanan pun bukan pada waktu makan.

Anak-anak gelandangan yang bermain bersama-sama kawan-kawan.
Anak-anak gelandangan yang bermain bersama-sama kawan-kawan.

“Bila kita letak makanan, ada yang tidur dan kita nampak lipas datang, ia tak bersih. Kita tukar kepada makanan kering. Kita mahu berubah ikut keadaan dan bukan teruskan saja cara lama.

“Lepas itu kita sumbang barangan mandi, baju terpakai dan khidmat perubatan. Projek terbaru gunting rambut, dimulakan sejak lima bulan lepas dan mendapat sambutan hangat, saya sangat gembira,” katanya.

Terlibat dengan kerja kesukarelawanan sejak beberapa tahun lepas, Richard Wong mengakui ada rakannya agak sinis dengan penglibatannya.

“Ada juga rakan-rakan saya bertanya kenapa saya luangkan banyak masa membantu golongan ini. Mereka kata saya boleh buat perkara lain seperti bercuti dengan keluarga, boleh dapat kepuasan diri dengan cara begitu.

“Pada saya, inilah cara saya mendapat kepuasan diri. Bila bantu mereka, lihat mereka berterima kasih, tidak perlu cakap pun tapi kadangkala lihat daripada 'body language' mereka sudah cukup untuk buat saya rasa gembira.

“Orang lain mungkin ada cara mereka tapi kalau tanya saya, saya puas melakukan ini, bantu orang lain,” ujarnya.

Sukarelawan luar negara terkejut

Dalam pada itu, seorang sukarelawan dari Turki yang menyertai pemberian sumbangan melalui FFG, Berkan Celik, 32, mengakui terkejut melihat ramai gelandangan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, terdapat golongan gelandangan di Istanbul, Turki namun jumlahnya tidak ramai, berbeza dengan apa berlaku di Kuala Lumpur.

Begitupun, katanya, konsep bantuan kepada gelandangan di negaranya sama seperti di Malaysia di mana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan makanan kepada mereka.

“Di Istanbul, ada beberapa NGO bantu mereka. Ada restoran beri makanan, ada yang berikan mereka sup, selimut terutamanya pada musim sejuk. Kita juga beri perkhidmatan gunting rambut.

“Tujuan kami adalah membantu mereka mendapatkan kembali kehidupan lama mereka. Ada sesetengah orang, anda hanya perlu beri mereka sedikit bantuan dan mereka boleh kembali menjalani kehidupan seperti dulu.

“Selagi mereka tinggal di jalan, mereka tidak menjalani kehidupan normal,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, masyarakat perlu ada kesedaran untuk memperbaiki nasib gelandangan memandangkan kesedaran kini masih berada di tahap rendah.

“Kalau semua orang peka dengan nasib gelandangan, akan lebih mudah untuk membantu mereka dengan lebih berkesan dan cepat. Kita perlu cari mereka dan bantu, kongsi dengan mereka,” ujarnya.

Sementara itu menurut pakar perubatan keluarga Dr Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul Malek beliau membantu golongan gelandangan dari segi memberi bantuan perubatan.

Sebuah keluarga gelandangan yang menjadikan kaki lima di sebuah jalan di kota Kuala Lumpur sebagai tempat berteduh.
Sebuah keluarga gelandangan yang menjadikan kaki lima di sebuah jalan di kota Kuala Lumpur sebagai tempat berteduh.

"Saya bertanggungjawab untuk merawat apa-apa penyakit yang kita jumpa pada gelandangan. Dalam bulan Ramadan, kita anjurkan program ini pada setiap minggu. Kita akan berjalan dan tanya kepada mereka. Kebanyakan pesakit yang kita jumpa mengalami kecederaan pada kakinya.

"Ada juga kaki kena potong sebab kencing manis tapi luka mereka tidak dicuci dengan baik dan ada jangkitan. Jadi kami bantu bersihkan luka mereka dan beri antibiotik dan balut. Ada juga banyak penyakit kulit dalam kalangan mereka dan kita akan beri ubat. Semua ubat ini dapat daripada farmasi dan sukarelawan yang menderma kepada kami," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, keadaan kesihatan gelandangan boleh dikatakan agak membimbangkan kerana ada yang mempunyai kecederaan teruk, ada juga meninggal dunia disebabkan jangkitan tersebut.

"Mereka ada yang pergi rawatan tapi ada juga yang degil, tidak mahu mendapatkan rawatan.

"Jadi kami nasihatkan mereka tapi kebanyakannya tetap berdegil. Ada juga bayi golongan gelandangan yang tidak pernah dapat rawatan langsung. Ini antara masalah yang kita jumpa.

Jangkitan kulit lebih serius kerana mudah berjangkit," katanya.

Jelasnya, "penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi pun ada tapi susah sikit untuk kita rawat kerana kita jumpa minggu ini tapi minggu depan kita tak tahu di mana,".

Mewahnya jadi gelandangan di KL

Diberi layanan yang cukup istimewa, itulah apa yang dilalui oleh penulis tatkala semalaman menyamar sebagai gelandangan di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Malah penulis boleh katakan bahawa para gelandangan 'ditatap' dengan cukup baik oleh NGO dan individu persendirian yang tampil menghulurkan bantuan hinggakan bantuan yang diberikan cukup 'mewah'.

Penulis sendiri turut merasai 'kemewahan' hidup sebagai seorang gelandangan apabila tidak sampai setengah jam menyamar, tangan penulis sudah dipenuhi dengan beg-beg bantuan berisi makanan, barangan sanitari harian seperti sabun mandian, pencuci badan dan lain-lain lagi.

Malah para gelandangan turut diberikan perkhidmatan potong rambut secara percuma dan juga pemeriksaan kesihatan secara percuma, begitulah prihatinnya rakyat Malaysia.

Tempat berteduh bagi golongan gelandangan.
Tempat berteduh bagi golongan gelandangan.

"Abang pergi hadapan jalan itu ada orang beri KFC dan pizza domino," beritahu seorang lelaki gelandangan kepada penulis.

Lantas penulis ke lorong yang diberitahu berkenaan, penuh lagi tangan penulis.

Menurut gelandangan yang sempat ditemubual, memberitahu bahawa kehidupan yang dilalui mereka boleh dikatakan 'senang' kerana ramai yang tampil membantu.

"Makanan mewah bang, Alhamdulillah hampir setiap malam ada yang beri kami makan," kata seorang wanita gelandangan.

Menanti jam 11 malam pula, di satu jalan di Chow Kit kelihatan para gelandangan sedang berkumpul beramai-ramai.

"Beratur, beratur," pinta seorang penaja sumbangan.

Menghampiri kawasan berkenaan penulis meninjau apa pula yang mahu diberikan.

Tidak lama kemudian kelihatan seorang penaja menghulurkan pula duit raya buat gelandangan di kawasan sekitar.

Selepas itu kereta keluar masuk, kali ini pula sumbangan baju yang hendak disampaikan.

"Baju, seluar pilih yang mana mahu," demikian kata seorang anak lelaki muda yang mengeluarkan berbeg-beg kantung yang berisi pakaian.

Menghampiri jam 2 pagi gelandangan kembali ke 'sarang' mereka di sekitar kawasan pejalan kaki yang menjadi 'rumah' mereka setelah pelbagai bantuan diterima.

Begitulah putaran semalaman gelandangan di Kuala Lumpur.