OKU ternak ikan laga

Mohd Faizal bersama anak-anak ikan laga yang diletakkan di dalam botol air.
Mohd Faizal bersama anak-anak ikan laga yang diletakkan di dalam botol air.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – Meskipun berkerusi roda, seorang lelaki di Lorong Haji Amir di sini tidak pernah menjadikan status orang kurang upaya (OKU) sebagai penghalang untuknya meneruskan hobi mengumpul dan menternak ikan laga.

Mohd Faizal Khamis, 36, berkata, walaupun ikan laga atau nama saintifiknya Betta Splendens hanya mempunyai saiz sebesar jari kelingking kanak-kanak namun nilainya mampu mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, bagi peminat ikan hiasan, ikan laga antara spesis menarik untuk dipelihara dan walaupun bersaiz kecil keunikan ikan ini dengan warna yang menarik selain ekor yang kembang dan cantik mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk memeliharanya.

“Itulah nilai ikan laga yang mempunyai ciri pelbagai warna dan berekor kembang sehingga mempunyai nilai komersial tersendiri kepada individu yang memeliharanya dan tidak hairanlah ikan laga ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

“Pada awalnya, saya kumpul ikan laga ini sekadar hobi sahaja namun disebabkan permintaan terhadap ikan hiasan ini sentiasa ada, saya nekad mahu menukar hobi saya ini sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut anak bongsu daripada 12 beradik ini, dia yang diserang penyakit saraf sewaktu umurnya 11 tahun sehingga tidak boleh bergerak turut mengubah kehidupan zaman kanak-kanaknya sekelip mata.

“Sekarang ikan laga ini menjadi pembakar semangat dan terapi buat diri saya untuk saya meneruskan kehidupan serta berjuang terus melawan penyakit yang saya alami ini dan sebagai orang Islam, saya reda apa yang menimpa saya.

“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan saya ini sebagai penghalang dan semua urusan berkaitan ikan laga termasuk membiak, menternak dan menjual saya lakukan sendiri walaupun terpaksa berkerusi roda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizal menunjukkan ikan laga jenis Halfmoon.
Mohd Faizal menunjukkan ikan laga jenis Halfmoon.

Mohd Faizal berkata, dia yang menjadikan halaman rumah ibunya, Mon Omar, 75, sebagai lokasi menternak ikan laga kini turut mempunyai lebih 5,000 ekor ikan laga yang ditempatkan di dalam kolam ternakan termasuk botol-botol plastik dan kaca.

Katanya, terdapat tiga jenis ikan laga yang diternak secara komersial olehnya iaitu jenis Crown Tail, Dumbo serta Halfmoon dan mengakui penjagaan ikan laga juga tidak terlalu rumit dan sukar berbanding ikan-ikan hiasan lain.

“Saya hanya memberikan ikan-ikan saya makan kutu air dan dedak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang selain perlu menukarkan airnya setiap seminggu sekali atau bila keadaan air terlalu kotor,” katanya.

Mohd Faizal berkata, ikan laga juga mudah membiak dan dalam tempoh 24 jam ikan ini boleh menetaskan antara 100 hingga 400 telur pada satu-satu masa dan pada awalnya percubaan membiakkan ikan hiasan berkenaan dilakukan sekadar suka-suka.

Katanya, untuk mengawankan ikan tersebut, ikan jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas yang sama di antara dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan betina menjauhkan diri dari ikan jantan.

“Ikan betina akan diasingkan dan ikan jantan akan dibiarkan menjaga telur-telur ikan tersebut di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudian dan anak-anak ikan laga ini akan diberi makan kutu air bagi membantu membentuk ekornya.

“Ekor ikan laga akan mengembang seperti kipas yang sangat cantik pada usia dua setengah sehingga empat bulan iaitu tempoh yang paling cantik dan ditunggu oleh peminatnya dan pada usia dua bulan, ikan laga sudah boleh dijual,” katanya.

Mohd Faizal berkata, sekiranya dijaga dengan betul, hayat ikan ini juga boleh mencapai usia tiga tahun sebelum ekornya menjadi labuh dan berat selain peminat biasanya lebih meminati ikan yang berwarna biru dan hijau selain dari warna merah, putih dan keemasan.

Katanya, dia yang turut memasarkan ikan laganya secara atas talian juga mampu menjual kira-kira 500 ekor ikan laga setiap bulan dan kebanyakannya dijual secara borong oleh peminat ikan laga dari seluruh negara.