Syawal popular pada bulan Syawal

Syawal bersama kad pengenalannya.
A
A

KUALA KRAI - Bulan Syawal pasti dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia bagi meraikan kejayaan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.

Bagi Mohamad Nor Syawal Rosidi Mohd Nordin, 24, atau lebih mesra dengan panggilan Syawal, bulan berkenaan sangat bermakna buatnya kerana pada bulan itulah dia dilahirkan, malah turut dinamakan sempena bulan tersebut.

Menurutnya, dia bangga dengan bapanya, Mohd Nordin Mustafa, 50-an yang memilih nama Syawal sempena bulan penuh kemuliaan itu.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lipis ketika bapanya yang juga kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertugas di sana sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Krai.


Ahli keluarga yang sentiasa menjadi pendorong kepadanya.
Ahli keluarga yang sentiasa menjadi pendorong kepadanya.

Mohamad Nor Syawal Rosidi berkata, dia dilahirkan pada 25 Mac 1995 bersamaan dengan 23 Syawal.

Bercerita kenangan sewaktu di alam persekolahan, Mohamad Nor Syawal Rosidi berkata, setiap kali tiba Syawal dirinya popular dalam kalangan rakan sekolah.

Menurutnya, dia mengakui berasa pelik apabila setiap kali tiba bulan kelahirannya lebih ramai memanggil namanya.

"Saya tidak menyangka nama Syawal membuatkan saya popular dalam kalangan rakan terutama apabila tibanya bulan Syawal," katanya.



Syawal (kiri) bersama rakannya.
Syawal (kiri) bersama rakannya.

Dua kali sambutan hari lahir

Katanya lagi, oleh kerana hari lahir beliau pada tahun hijrah iaitu pada bulan Syawal mudah diingati, ahli keluarga dan rakan-rakan sering meraikan ulang tahun kelahirannya dua kali setahun.

"Kawan-kawan sering mengucapkan hari lahir setiap kali tibanya bulan Syawal membuatkan saya yang pada mulanya agak pelik tetapi gembira kerana rakan ingat hari lahir pada tahun hijrah," katanya.

Katanya lagi, nama tersebut juga membuatkan sesiapa sahaja yang baharu mengenalinya mudah mengingatinya.

Katanya, ketika ini umat Islam baharu sahaja meraikan Syawal, bagi dirinya, ia merupakan bulan penuh makna yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Syawal bergambar kenangan dengan keluarganya.
Syawal bergambar kenangan dengan keluarganya.

Malah, dia berterima kasih kepada bapanya yang memilih nama tersebut buat dirinya yang sekali gus membuatkan dirinya agak terkenal dalam kalangan rakan-rakan.

Mohamad Nor Syawal Rosidi kini memegang jawatan Ketua Gerak Remaja Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Kuala Krai.

**** BIODATA

Nama: Mohamad Nor Syawal Rosidi Mohd Nordin

Umur: 24 tahun

Tarikh lahir: 25 Mac 1995

Adik-beradik: Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik

Jawatan: Ketua Gerak Remaja Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Kuala Krai