29 kes jangkitan kuman pada salur pernafasan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 29 kes jangkitan kuman pada salur pernafasan dalam kalangan Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh Gua Musang dikesan sejak Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu membabitkan 19 perempuan dan 10 lelaki termasuk tiga bayi, 10 kanak-kanak dan 16 dewasa.

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin

Menurutnya, kejadian dikesan hasil maklumat sukarelawan Orang Asli kepada Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang pada Selasa lalu.

“Sebaik menerima laporan itu pihak Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan segera menghantar pasukan kesihatan serta perubatan ke perkampungan Orang Asli berkenaan.

“Terdapat 29 kes dikesan dan dibuat pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Aring serta Klinik Kesihatan Chiku 3 Gua Musang.

“Daripada jumlah itu seramai 12 kes dirawat sebagai pesakit luar manakala 17 kes dirujuk ke Hospital Gua Musang seterunya tiga daripada 17 kes itu pula dirujuk pula ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan yang lebih rapi,” katanya pada satu kenyataan akhbar selepas dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan klinikal mendapati mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan jangkitan kuman di saluran pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Hospital Gua Musang serta Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan organisma atau kuman yang menyebabkan jangkitan tersebut.

“Kesemua mereka yang dirawat dalam wad di hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sejak 04 Jun lalu itu menunjukkan keadaan semakin pulih.

“Dakwaan seramai 12 orang penduduk yang ditemui mati itu pula tidak dapat dipastikan kebenaranya kerana setakat ini tiada yang melaporkan kematian tersebut secara rasmi samada di hospital atau di klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Dr Zaini berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan kawalan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan.

“Pihak jabatan adakan ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kepentingan menjaga kebersihan diri serta persekitaran.

“Selain promosi kesihatan pihak jabatan juga melakukan carian kes secara aktif (Active Case Detection) ke atas semua penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh dan pengesanan kontak di kawasan terlibat turut dilakukan,” katanya.