Polis sahkan kenderaan DBKL terlibat nahas dengan motosikal

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis mengesahkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 253.3, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Pedas, di sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata kenderaan itu dipandu Ahmad Fadzhli Idzhar, 28, yang juga pemandu gantian kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Katanya kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang apabila kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Rembau menghala Kuala Lumpur itu dirempuh sebuah motosikal dari arah belakang, yang mengakibatkan penunggangnya Razuan A Rahman, 31, terjatuh dan patah tangan kiri, manakala pemandu dan penumpang SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau yang dihubungi di sini hari ini berkata kejadian berlaku di lorong kecemasan lebuhraya, apabila pemandu SUV itu terpaksa mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapannya yang menekan brek secara mengejut, dan menurutnya pemandu kenderaan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beberapa media sebelum ini melaporkan insiden kemalangan yang membabitkan kenderaan milik DBKL itu, yang dikatakan dipandu oleh seorang pegawai menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: