Tok Mat sedia pertahan kerusi Dun Rantau

tokmat
tokmat
A
A
A
SEREMBAN - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia mempertahankan kerusi Dun Rantau selepas Mahkamah Pilihan Raya Seremban memutuskan kemenangannya pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan itu.

"Ini kerusi saya dan ini kampung saya dan sebagai memperkasakan jawatan, saya akan mempertahankan kerusi Dun Rantau," katanya di Kompleks Mahkamah Seremban di sini, hari ini.

Ditanya adakah beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata akan berbincang dengan peguamannya terlebih dahulu.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan mahkamah kerana ini adalah proses rayuan daripada pihak pempetisyen dan ia telah pun diputuskan hakim.

"Apa saja keputusan saya akan berbincang dengan peguam langkah seterusnya.

"Jika nak buat rayuan, kita perlu kemukakan dalam tempoh 14 hari," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Tok Mat di Dun Rantau tidak sah]

Sementara itu wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi Dun Rantau dalam tempoh 30 hari setelah menerima sijil perakuan keputusan pilihanraya daripada mahkamah.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu media melaporkan Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding pada PRU14 bagi kerusi Dun Rantau selepas Pegawai Pilihan Raya Dun Rantau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan calon PKR Dr S Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Bagaimanapun Streram telah memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi memohon supaya mahkamah membatalkan keputusan itu.