Daus AF kekok sambut raya solo

Penyanyi, Daus Eli - FOTO: Progression Music and Records
A
A

HARI Raya Aidilfitri yang pastinya meriah telah pun tiba namun tidak bagi bekas bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan, Daus.

Daus atau nama sebenarnya, Muhd. Shahril Firdaus Eli mengakui suasana rayanya terasa begitu kosong tanpa keluarga di samping. Ini kerana, Daus telah pun berpisah dengan Syaza Shamimi Jalaludin Khan pada awal Februari lalu.

Justeru, kemeriahan Aidilfitri yang dikecapi oleh penyanyi itu pada lima tahun lalu, kini sudah tidak diraikan bersama lagi. Kata Daus, dia juga kekok untuk beraya secara solo.

“Perpisahan kami masih baru lagi, jadi ini kali pertama beraya solo tanpa anak dan isteri memang rasa lain.

“Kalau sebelum ini, saya ada isteri yang tolong siapkan pakaian raya tapi bila dah kembali solo ini saya siapkan sendiri dengan membeli tiga pasang baju raya sahaja.

“Anak-anak, mereka semua mestilah nak beraya dengan maknya di Bintulu. Tapi, tak mengapa saya faham,” katanya kepada Sinar Harian yang menyambut hari raya di Kuching, Sarawak.

Daus yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Faidhi Group & Co. di TAMU Hotel and Suits Kampung Baru, Kuala Lumpur pada minggu akhir Ramadan menceritakan suasana persiapan raya sebelum ini dilakukannya lebih awal kerana bimbang apa yang dirancang tidak sempat dilakukan.

“Kalau dulu, masa alam berumah tangga saya suka siapkan dua minggu awal sebab takut apa yang dirancang kadang-kadang tak jadi.

“Setakat baju raya, saya utamakan terlebih dahulu untuk anak-anak. Biasanya saya akan beli kain dan tempah. Kemudian saya rancang raya nak bawa anak ke mana.

“Selain itu, macam saya pula yang bekerja berulang-alik Kuala Lumpur ke Sarawak memang kena beli tiket penerbangan awal-awal sebab kalau lambat nanti mahal,” imbas Daus.

Untuk rekod, Daus berkahwin dengan Syaza pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz kini berusia empat bulan.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Bintulu, Sarawak pada awal Februari lalu.

Dalam perkembangan nyanyian, Daus bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Takdir Kita ciptaan beliau sendiri selepas hari raya ini.

“Insya-ALLAH, single terbaharu saya berentak balada terbitan Nova Music Malaysia akan dikeluarkan pada bulan Julai nanti dan saya sasar lagu saya diangkat menjadi runut bunyi drama.

“Lagu tersebut sudah siap dirakam dan sekarang dalam proses mastering dan mixing,” katanya.