Balik kampung satu kemestian: Anita Baharom

Pelakon, Anita Baharom. - FOTO SURIA
A
A

SETIAP kali tiba Hari Raya Aidilfitri, pelakon Anita Baharom akan pastikan bahawa mereka sekeluarga pulang ke kampung.

Menurut pelakon drama Dunia Baru itu, tahun ini merupakan giliran beraya di rumah sebelah suaminya di Johor Bahru.

“Kalau bab raya kami memang akan bergilir-gilir. Kalau orang lain biasanya berbahagi hari lebih atau kurang di kedua-dua belah tempat, kami pula fokus satu sahaja.

“Dulu masa anak tak sekolah boleh lama-lama di kampung kedua-dua belah pihak tapi bila anak dah sekolah, masa pun terhad, jadi kena fokus pada satu kampung sahaja,” ujarnya.

Berkongsi mengenai kemeriahan beraya, Anita memberitahu, menyambut hari raya di kampung sendiri di Sungai Petani, Kedah, tentunya lebih menggembirakan kerana dapat berkumpul dengan adik-beradik dan berjumpa sanak-saudara.

“Kalau beraya di kampung saya mestilah seronok sebab dapat buat persiapan raya bersama-sama adik-beradik. Masing-masing ada tugas, seorang kemas rumah, seorang siapkan juadah raya dan ada pula gosokkan pakaian raya kami.

“Selain itu, bila kampung sendiri ini dapatlah saya berjumpa dengan saudara-mara lain yang dah lama tak jumpa. Kami bual panjang tentang macam-macam perkara. Biasanya hari raya pertama di Sungai Petani, raya kedua di Pulau Pinang.

“Kalau di kampung suami pula yang seronoknya selepas beraya dalam sehari dua kami akan beraya ke rumah-rumah saudara-mara dia di Singapura. “Menariknya, anak-anak saya dapat kumpul duit raya mata wang Singapura,” katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun musim perayaan dilambakkan dengan juadah raya seperti lemang, ketupat dan pelbagai kuih raya, bagaimanapun, Anita yang juga merupakan duta kepada Amal Qurban Yayasan Amal Malaysia berkata, dia tetap akan mencari nasi terlebih dahulu sebelum menjamah juadah yang lain.

“Keluarga kami sebelah utara ini sejak kecil lagi memang tak amal sangat makan lemang dan ringan-ringan.

“Sebaliknya macam buat majlis kenduri. Suami saya pun kalau balik beraya di kampung sebelah saya berasa hairan dan terkejut sebab kami lebih kepada nasi minyak, nasi tomato dan kuah kacang.

“Manakala di kampung suami seronoknya bila dapat rasa masakan sambal goreng, lontong dan soto pedas.

“Macam saya cakap tadi, saya kena makan nasi sebelum makan makanan ringan-ringan. Jadi, di Johor pula lebih kepada ketupat.

“Oleh itu, kalau saya nak makan nasi saya akan masak siapa-siap iaitu ayam masak merah. Anak-anak pula sukakan ayam masak kurma saya,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia