Umat Islam tak perlu ragu penentuan tarikh hari raya

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri yang disambut semalam kerana kaedah Imkanur Rukyah yang digunakan adalah yang terbaik dan tepat.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Othman Zainon, selain kaedah cerapan (rukyah) dan kiraan (hisab), penentuan tarikh hari raya juga perlu melalui perbincangan oleh Jawatankuasa Ahli Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jelas beliau yang juga Ahli Persatuan Falak Negeri Selangor, panel terbabit akan membuat semakan terhadap data-data yang diperolehi dan akan memberikan pandangan masing-masing.

"Keputusan yang dicapai kemudian diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebelum diperkenankan dan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

"Jadi secara keseluruhannya, kaedah yang diamalkan oleh Malaysia lebih baik berbanding dengan Arab Saudi yang hanya menggunakan kaedah cerapan sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan mesej mengenai 44 buah negara termasuk Arab Saudi sudah menyambut Hari Raya Aidilfitri sehari lebih awal berbanding Malaysia.

Keadaan itu menimbulkan kontroversi apabila pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan telah melihat anak bulan walaupun data astronomi menunjukkan sukar untuk melihat kedudukan anak bulan sekaligus menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti pakar-pakar falak di negara itu.

Kontroversi itu mengakibatkan beberapa negara seperti Pakistan dan Indonesia termasuk Mesir dan beberapa tempat di Britian tidak mengikut langkah Arab Saudi mengumumkan hari raya sebaliknya terus berpuasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Othman menjelaskan, berdasarkan Bulan Hijri hanya terdapat 29 atau 30 haribulan sahaja bagi setiap bulan Islam dan kaedah rukyah atau cerapan akan dilakukan pada setiap 29 haribulan apabila ijtimak iaitu bumi, bulan dan matahari berada satu garisan.

"Hasil kiraan oleh Panel Pakar Falak Jakim mendapati bahawa anak bulan Syawal masih di bawah ufuk penglihatan iaitu - 1°, maka sukar untuk dilihat dan tidak cukup syarat kelihatan di Malaysia.

"Jika anak bulan tidak kelihatan maka perlu di tambah sehari lagi untuk cukupkan 30 hari. Selain itu, kita juga harus mengikut keputusan pemerintah yang telah mendapat nasihat dan pandangan daripada mufti, panel pakar Falak Jakim dan Jupem (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia).

Othman berkata, mengenai persoalan Arab Saudi yang sudah melihat anak bulan ialah kerana negara tersebut berada pada kedudukan latitud tinggi berbanding kedudukan garisan khatulistiwa Malaysia.

"Jadi sebenarnya, perbezaan satu hari dan dua hari di antara negara adalah perkara biasa. Kita di negara ASEAN pun masih tidak bersefahaman walaupun telah ditubuhkan Majlis Agama Antara Negara iaitu MABIMS.

"Negara Brunei pun masih tidak mengikut persetujuan bersama. Inikan pula Arab Saudi dan negara lain. Semua negara-negara Islam boleh menyambut Ramadan dan Syawal serentak jika semua negara Islam menggunakan takwim Hijri yang sama," katanya.