'Gembira lihat Aaira tersenyum'

Keadaan Aaira selepas setahun menjalani pembedahan pemindahan hati.
A
A

PONTIAN - Kedatangan Syawal memberi erti cukup bermakna bagi Siti Zubaidah Abd Jalil, 42, yang memberikan hati kepada anaknya, Siti Nur Aaira Mohd Mamdoh, 2, melalui pemindahan hati di di Hospital Renji Shanghai China pada 2 Mei tahun lepas.

Siti Nur Aaira yang mesra dipanggil Aaira mengalami penyakit kegagalan fungsi hati (biliary atresia) menerima 30 peratus hati ibunya melalui pembedahan hasil kutipan sumbangan pelbagai pihak sebanyak RM250,000.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Sungai Kuali Serkat perubahan begitu ketara pada Aaira yang kini tidak lagi menangis dan sentiasa gembira.

Siti Zubaidah yang juga guru di Sekolah Kebangsaan ( SK) Permas Kelapa bersyukur kerana Aaira yang merupakan anak bongsu dari lima beradik kini mampu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Tiada kata yang mampu diluahkan bagi menggambarkan perasaan saya dan suami, Mohd Mamdoh@Ridzuan Isa, 46, melihat Aaira tersenyum dan bergerak aktif.

“Syawal kali ini juga cukup bermakna kerana kami dapat berpuasa di sini memandangkan pada tahun lepas, kami berada di China pada bulan Ramadan bagi pembedahan Aaira,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesan jahitan pembedahan pemindahan hati masih jelas kelihatan selepas setahun.
Kesan jahitan pembedahan pemindahan hati masih jelas kelihatan selepas setahun.

Kisah Siti Nur Aaira yang perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di China tular di media sosial dan mendapat liputan media termasuk Sinar Harian pada Februari tahun lepas.

Siti Zubaidah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang cukup prihatin berkongsi kisah anaknya di media sosial dan menghulurkan sumbangan.

“Dalam tempoh 21 hari selepas kisah Aaira tular di media sosial, wang yang diperlukan untuk pembedahan sebanyak RM250,000 berjaya dikumpul. “Malah saya juga agak terkejut pada mulanya apabila mendapati sebanyak RM60,000 berada di dalam akaun bank saya selepas seminggu kisah Aaira tular. Terima kasih atas sumbangan dihulurkan, hanya tuhan mampu membalasnya,” katanya.

Meskipun Aaira kini aktif bermain dan bergerak namun kanak-kanak itu perlu mengambil ubat khas selain kesihatannya masih dipantau hospital. Siti Zubaidah berkata, ubat khas berbentuk kapsul perlu diberikan kepada Aaira sebanyak dua kali sehari iaitu sejam sebelum dan selepas makan pada sebelah pagi dan petang.

Katanya, kos pembelian ubat tersebut mencecah RM1,000 sebulan.

Selain itu, hanya susu soya khas boleh diminum Aaira yang kini beratnya cuma 8.65 kilogram.

“Bila Aaira demam, batuk atau selesema kami perlu bawa dia segera ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pernah sekali kami ke PPUM sebanyak tiga kali pada Februari lepas kerana Aaira demam,” katanya.

Siti Zubaidah memangku Aaira pada pagi Syawal di rumah mereka di Kampung Sungai Kuali.
Siti Zubaidah memangku Aaira pada pagi Syawal di rumah mereka di Kampung Sungai Kuali.

Menceritakan detik sebelum pembedahan dijalankan, Siti Zubaidah mengakui dia cukup gementar namun perasaan itu diketepikan demi melihat Aaira sihat.

Menurutnya, selain berpuasa dia juga perlu menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan bagi memastikan hatinya sesuai didermakan untuk Aaira.

“Selepas pemindahan hati berjaya dilakukan, Aaira tidak boleh ditemui oleh ahli keluarga selama enam hari kerana ditempatkan di wad khas.

“Dua hari selepas pembedahan, Aaira menunjukkan perubahan di mana perutnya tidak lagi membengkak dan bacaan kuning turun mendadak. Kemudian Aaira ditempatkan pula di wad yang lain selama tiga minggu,” katanya.

Katanya, setiap detik pembedahan dilakukan semuanya dirakam dalam bentuk gambar dan video oleh pasukan doktor di sana.

“Saya agak terkejut melihat hati Aaira yang rosak sebesar dulang. Syukur pembedahan pemindahan hati berjaya,” katanya.

Bercerita tentang sambutan hari raya, Siti Zubaidah berkata, ibu mana yang tidak gembira menyambut lebaran bersama anak-anak lebih-lebih lagi selepas mengharungi pelbagai dugaan mengubati Aaira.

Katanya, hari raya kali ini mereka sekeluarga lega melihat perubahan Aaira.

“Cuma sekarang kena pantau kesihatan Aaira betul-betul dan berikan dia ubat seperti diminta oleh doktor.

“Aaira suka makan burasak, itulah kegemaran dia pada pagi hari raya," katanya.