Syafiq Farhain terkilan tak dapat beraya dengan arwah bapa

Syafiq Farhain - FOTO: Rosli Talib
Syafiq Farhain - FOTO: Rosli Talib
A
A
A

PULANG menyambut hari raya bersama ibu dan adik-beradik di kampung tentunya menjadi perkara yang paling dinantikan bagi penyanyi Syafiq Farhain setiap tahun. Apatah lagi semenjak kecil, rayanya hanya di kalangan mereka.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, Aidilfitri kali ini dianggap lebih istimewa kerana segala persiapan dan keperluan raya untuk keluarga dapat disediakan dengan sempurna hasil usaha kerasnya dalam bidang seni.

“Alhamdulillah, pada tahun ini rezeki saya lebih sikit jadi dapatlah dikongsi dengan ibu dan adik-beradik yang lain untuk menyediakan keperluan raya mereka mengikut apa yang dimahukan.

“Sebelum ini pun saya bantu juga dalam menyediakan keperluan raya di rumah tapi sikit-sikit sahajalah mengikut kemampuan. Jadi bila tahun ini dapat bagi lebih saya rasa gembira tengok mereka seronok sambut raya.

“Sebenarnya banyak lagi perancangan yang saya nak buat untuk keluarga terutamanya ibu yang tidak dapat dikongsikan di sini, apatah bila mengenangkan kesusahannya membesarkan kami adik-beradik selama ini,” ujar Syafiq.

Mengakui kenangan beraya bersama adik-beradik ketika kecilnya adalah perkara terindah dalam hidup, Syafiq, bagaimanapun tidak menafikan menyimpan rasa terkilan apabila hasratnya untuk menyambut raya bersama arwah bapa, penyanyi Saleem tidak kesampaian.

Vokalis kumpulan Iklim itu telah meninggal dunia pada 14 Oktober lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum itu.

“Sejujurnya saya tidak ingat langsung kenangan raya bersama arwah abah kerana semenjak kecil memang tidak pernah beraya bersamanya. Kalau ada pun mungkin ketika saya masih terlalu kecil dan saya tidak dapat mengingat semua itu.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang saya ingat hanyalah kenangan raya saya bersama ibu dan adik-beradik kerana memang semenjak dari kecil raya saya dengan mereka sahaja.

“Bagaimanapun bila sudah menginjak dewasa, apatah lagi kembali bertemu dengan arwah abah, saya ada menyimpan hasrat untuk beraya dengannya pada tahun tahun ini.

“Namun ALLAH lebih menyayanginya dan hasrat itu tidak menjadi kenyataan. Insya-ALLAH saya akan menziarahi pusaranya selepas pulang ke ibu kota nanti,” akui Syafiq.

Syafiq atau nama penuhnya, NurSyafiq Farhain, 25, meraikan Aidilfitri di kampung halamannya, Setiu, Terengganu selama seminggu sebelum kembali bertugas sebagai anggota bomba di Putrajaya.

“Alhamdulillah, saya dapat meluangkan masa selama seminggu bersama keluarga pada tahun ini.

Walaupun seminggu tu tak lama tapi sekurang-kurangnya saya dapat bersama mereka pada hari yang mulia ini.

“Seronok beraya bila anak-anak buah dah makin besar dan masing-masing teruja nak sambut raya sama seperti zaman saya kecil dulu. Malah kali ini juga saya sediakan peruntukan duit raya yang lebih untuk mereka,” kongsi Syafiq kepada Sinar Harian.