Di mana ibu bapa kandung Kavithajiny?

Sithra (kiri) menunjukkan sijil daftar kelahiran milik Kavithajiny.
Sithra (kiri) menunjukkan sijil daftar kelahiran milik Kavithajiny.
A
A
A
KLUANG - Sepasang suami isteri di Taman Lian Seng, di sini, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu dan bapa kandung anak angkatnya bagi memudahkan proses dokumentasi dan penyerahan anak angkat secara sah.

K Sithra, 42, berkata, pada 5 Februari 2014, dia dan suaminya, R Kumaran, 46, diminta bapa bayi tersebut, Y Povaneshvaran, 35, dan isterinya, Pee Guat Imm, 29, untuk menjaga bayi mereka, P Kavithajiny yang ketika itu baharu berusia enam hari.

“Kavithajiny dilahirkan pada 31 Januari 2014 di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah dan beberapa hari selepas dia dilahirkan, ibu dan bapanya minta saya menjaganya sekejap dengan alasan mereka perlu menyelesaikan masalah keluarga.

“Sekarang, bayi berkenaan sudah berusia empat tahun dan pada tempoh dua bulan pertama, pasangan ini beberapa kali menghubungi saya sebelum senyap dan menghilangkan diri tanpa khabar berita sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika pasangan berkenaan menyerahkan anak mereka, dia hanya menerima sijil daftar kelahiran sahaja dan masalah untuk mendapatkan MyKid mula timbul apabila urusan untuk mendaftarkan persekolahannya tahun depan dilakukan, baru-baru ini.

Katanya, dia bersama suami dan empat anaknya juga telah menganggap Kavithajiny sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya sendiri menyebabkan mereka berhasrat untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

“Apa yang membimbangkan sekarang adalah usaha untuk mendapatkan MyKid daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat dilakukan kerana permohonan hanya boleh dilakukan ibu bapa kandung sahaja.

“Setelah semakan dibuat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami dapati ibu bapa kandungnya perlu membuat penyerahan secara sah anak mereka bagi membolehkan semua urusan berkaitan kanak-kanak ini dapat diuruskan kami suami isteri,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suaminya juga beberapa kali datang ke alamat terakhir pasangan tersebut di Sungai Petani, Kedah, namun usaha tersebut gagal kerana mereka dipercayai telah berpindah.
Artikel Berkaitan:


“Saya harap dapat bertemu ibu bapa kandung Kavithajiny bagi membolehkan urusan penyerahan anak angkat secara sah dapat dilakukan jika mereka benar-benar tidak mahukan anak ini,” katanya.