Ernie Zakri pilih raya sederhana

Erni - Foto ASRIL ASWANDI
Erni - Foto ASRIL ASWANDI
A
A
A
RAMADAN tahun ini pastinya yang berbeza buat penyanyi Ernie Zakri apabila jadual hariannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sepanjang hari.

Tidak hanya dengan rutin kerjaya seni tetapi kata Ernie, kesibukannya berganda apabila mula berjinak-jinak dalam perniagaan menerusi kolaborasi baju raya Syamel Ernie x Sarah J yang diusahakan awal Ramadan lalu.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, biarpun ia hanyalah perniagaan kecil-kecilan namun dia cukup seronok dapat menimba pengalaman baharu.

“Selalunya pada bulan Ramadan saya hanya sibuk memenuhi undangan berbuka puasa dan persembahan sahaja tetapi pada tahun ini sibuk berniaga pula.

“Walaupun ia hanyalah bisnes kecil-kecilan namun saya dan Syamel sepakat untuk buat bersungguh-sungguh dan cuba mempromosikan baju raya kami dengan sebaik mungkin.

“Jadi hampir setiap hari kami akan turun padang dan berada di booth baju raya yang kami jual. Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan malah dalam masa yang sama banyak benda baharu yang saya belajar daripada pengalaman ini,” ujar Ernie.

Selain kolaborasi jenama baju raya, Ernie turut gembira apabila lagu raya pertamanya bersama Syamel, Seri Hari Lebaran mendapat perhatian ramai. Gandingan ini sekali lagi menyaksikan keserasian mereka sebagai pasangan duet selepas single Aku Cinta dan Takkan Terlerai.

“Sebenarnya saya dan Syamel sangat bertuah kerana kami mendapat peluang menyanyikan lagu raya ciptaan komposer tersohor S. Atan yang sebelum ini banyak mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi tanah air seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Sudirman.

“Kami bangga kerana dapat lagu raya baharu daripada komposer yang memang hebat dalam industri. Ia menjadi salah satu kenangan paling manis untuk saya dan Syamel untuk raya tahun ini,” akuinya.
Artikel Berkaitan:


Berkongsi tentang persiapan rayanya, kata penyanyi lagu Ku Bersuara ini, setiap tahun dia dan keluarga sentiasa bersederhana menyambut raya. Persiapan selalunya hanya tertumpu kepada keperluan rumah berbanding perkara lain.

“Setiap tahun saya dan keluarga memang sambut raya dengan cara yang sederhana, beli apa yang perlu sahaja.

“Selalunya untuk diri sendiri, saya hanya sediakan sepasang dua baju raya. Cuma tahun ini lebih sedikit kerana saya berniaga baju raya, jadi pakailah baju raya yang saya jual sendiri,” ujarnya lagi.

Raya rumah Pak Zain

Sebagaimana tahun sebelumnya, kata Ernie, dia dan keluarga akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarga. Malah kebanyakan sanak-saudaranya juga beraya di sekitar lembah Klang menjadikan raya mereka sentiasa meriah.

Aktiviti ziarah-menziarahi tetap menjadi amalan mereka sekeluarga termasuklah kunjungan ke rumah keluarga penyanyi popular Ziana Zain dan Anuar Zain yang mempunyai talian persaudaraan dengannya.

“Selepas beraya bersama keluarga pada hari raya pertama, kami memang terus menziarahi rumah saudara-mara yang ada.

“Antara yang menjadi kemestian setiap tahun tentulah rumah keluarga Ziana dan Anuar Zain di Shah Alam. Dalam sekian banyak rumah, selalunya akan menghabiskan masa yang lebih lama di rumah Pak Zain kerana dapat jumpa ramai sanak saudara yang lain juga.

“Selain itu, saya juga tidak melepaskan peluang untuk beraya rumah rakan artis yang beraya di Kuala Lumpur dan kemudiannya buat plan pergi beraya bersama ke rumah-rumah lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, Aidilfitri kali ini menjadi lebih istimewa buat Ernie apabila dia merancang untuk mengadakan majlis sambutan hari raya bersama para peminatnya pada 23 Jun depan. Katanya, ia sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasihnya atas sokongan yang diberikan oleh peminat terhadap kerjaya seninya selama ini.

“Kalau ikutkan saya memang jarang buat gathering raya dengan peminat kerana masa ni kita selalunya akan sibuk dengan keluarga.

“Namun sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka, saya akan mengadakan majlis raya bersama mereka pada 23 Jun depan yang juga jatuh pada hari jadi saya.

“Alhamdulillah, tak sangka dapat sambutan di luar dugaan apabila ramai yang mengesahkan untuk turut serta sehingga kami terpaksa menghadkan kehadiran kerana sudah terlalu ramai,” kata Ernie yang sibuk dengan komitmen kerja sehingga hujung tahun ini.