Kementerian Pertahanan nafi beli 12 UAV daripada AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menjelaskan 12 Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) ScanEagle dibiayai sepenuhnya oleh pihak Amerika Syarikat (AS) dan tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, pesawat tersebut dibiayai melalui program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) bertujuan untuk menyediakan bantuan dalam bentuk keupayaan aset dan kapasiti latihan kepada negara-negara rakan termasuk Malaysia.

"Program ini bagi membantu meningkatkan Kesedaran Persekitaran Maritim (MDA) di rantau Asia Tenggara dan dibiayai sepenuhnya oleh AS dan tidak melibatkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia.

"Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima aset ini secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022 di mana kumpulan pertama sebanyak enam ScanEagle UAV dijangka akan diterima pada pertengahan November ini.

"Selain daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi penguatkuasa lain turut menerima manfaat di bawah program MSI bagi meningkatkan keupayaan pengawasan maritim dan perkongsian maklumat di kalangan agensi penguatkuasa dan ATM," katanya di sini hari ini.

Semalam, agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan AS akan menjual 34 UAV ScanEagle yang dibuat oleh Boeing Co kepada kerajaan Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam dengan jumlah keseluruhan bernilai AS$47 juta (RM196 juta).

Kenyataan itu berkata, kementerian akan membuat perolehan dua Pesawat Kawalan Maritim (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK Ke-12).

Sehubungan itu, Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan perisikan, pengawalan dan peninjauan (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Artikel Berkaitan:

"Selaras dengan pendirian Malaysia yang tidak memihak kepada sesiapa dan membina jaringan persahabatan dengan semua, Malaysia mengalu-alukan kerjasama pertahanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk AS dan China bagi menjaga keselamatan negara dan kestabilan di rantau Asia Tenggara," katanya.