Loji Rawatan Air Sungai Langat kembali beroperasi: Syabas

x-default
x-default
A
A
A

HULU LANGAT - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) ahli Kumpulan Air Selangor memaklumkan, proses rawatan air di Loji Rawatan Air Sungai Langat telah kembali beroperasi dan penyaluran air terawat ke kolam agihan beroperasi seperti biasa.

Ia terjejas ekoran masalah peralatan penapisan mekanikal (bandscreen).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sedang dalam proses menstabilkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan.

“Berdasarkan pemantauan di lapangan sehingga jam 12 tengah hari, kesan gangguan dapat dikurangkan dan bekalan air kebanyakan kawasan telah kembali pulih,” katanya melalui kenyataan media.

Abdul Raof berkata, kawasan yang terjejas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mencapai 89 peratus pulih, hanya tiga kawasan iaitu Pandan Prima, sebahagian Taman U-Thant dan Taman Tenaga yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Wilayah Petaling pula mencatatkan pemulihan 100 peratus dan pulih sepenuhnya manakala peratusan pemulihan di lapan kawasan Wilayah Hulu Langatt berada pada tahap 65 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan impak gangguan, bantuan lori tangki air digerakkan secara berterusan.

“Kami komited bagi memulihkan bekalan kepada pelanggan yang terkesan dan menyalurkan bantuan serta meminimakan impak gangguan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air Sungai Langat terjejas berikutan hujan lebat di hulu sungai dan kuantiti sampah sarap yang banyak terkumpul di muka sauk menyebabkan alat penapisan mekanikal tersumbat serta gagal berfungsi.