Tiada sebab lompat parti: Adun Pulau Tawar

Nazri (kanan) bersalam dengan sebahagian Pengerusi MPKK yang menghadiri perjumpaan di Galeri Mat Kilau, semalam.
Nazri (kanan) bersalam dengan sebahagian Pengerusi MPKK yang menghadiri perjumpaan di Galeri Mat Kilau, semalam.
A
A
A
JERANTUT - Semua Adun dan Ahli Parlimen BN Pahang tidak akan goyang dengan khabar angin lompat parti yang digembar-gemburkan di negeri itu.

Adun Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, sebaliknya mereka tekad untuk terus mempertahankan kerajaan yang dibentuk selepas PRU14.

Ketua Umno Bahagian Jerantut itu berkata, tiada sebab untuk beliau dan rakan seperjuangannya melompat parti.

"Saya dan Adun lain serta ahli-ahli parlimen BN di negeri ini akan terus setia bersama parti dan kekal memperjuangkan Umno.

"Kami yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam usaha membentuk kerajaan yang berjiwa rakyat," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baru dilantik di daerah ini di Galeri Mat Kilau, di sini semalam.

Nazri yang juga Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata, khabar angin mengenai beberapa Adun dan ahli Parlimen di negeri ini akan lompat parti adalah tidak benar.

"Dakwaan ini sengaja dicetuskan kerana ada pihak yang cemburu dengan kerajaan BN di Pahang yang dilihat mampu mentadbir negeri dengan baik biarpun kini bergelar pembangkang," katanya.

Menurutnya, beberapa wakil rakyat BN yang melompat parti menyertai PH sebelum ini adalah lebih kepada kepentingan peribadi dan mereka tidak telus dalam memperjuangkan Umno selama ini.
Artikel Berkaitan:


"Umno Bahagian Jerantut juga akan sentiasa berjuang untuk kembali memperkasakan parti dan tidak ada ahli yang akan menyertai parti lain setakat ini," katanya.