Duka 1 Syawal

Bomba mengawal kebakaran kejadian di Jalan Batu Balik, Sg. Ganchong, semalam.
Bomba mengawal kebakaran kejadian di Jalan Batu Balik, Sg. Ganchong, semalam.
A
A
A

PEKAN - Saat gembira dua buah keluarga merai lebaran bertukar duka apabila kediaman mereka ranap dalam kebakaran, di Jalan Batu Balik, Sg. Ganchong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengahari tu, dua buah rumah yang dihuni 15 ahli keluarga itu musnah dalam sekelip mata.

Mangsa, Ramli Ismail, 34 berkata, sewaktu kejadian mereka tiada di rumah kerana beraya di kediaman ibunya.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain bergegas pulang sebaik dimaklumkan jiran tetapi semuanya sudah terlambat.

"Dua buah rumah ini dihuni keluarga saya dan keluarga adik.

"Semua beraya di rumah mak dan kami tidak sempat selamatkan apa-apa.

"Adik saya cedera ringan melecur di bahu ketika mengalih kenderaan tetapi sebuah Hilux gagal diselamatkan," katanya.

Katanya, perasaan sedih sukar digambarkan, lebih-lebih lagi ia berlaku pada hari raya.

Artikel Berkaitan:

"Memang sedih tetapi kami redha dengan ketentuan Allah.

"Kerugian dialami lebih kurang RM 100, 000,"katanya.

Kata Ramli yang juga seorang peniaga, buat sementara waktu, dia dan keluarga adiknya menumpang di rumah ibu mereka.

"Sekarang kami tiada tempat berteduh dan terpaksa menumpang di rumah mak.

"Kami berterima kasih kepada pihak-pihak yang menghulurlan sumbangan bagi mengurangkan beban.

"Jika ada mana-mana pihak yang boleh bantu kami bina semula rumah,itu lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Penolong Penguasa Bomba, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan seratus peratus.

"Kami terima panggilan kam 12.20 tengahari dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Kerja pemadaman berjalan lancar dan kita turut meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melancarkan operasi.

"Operasi tamat pada jam 2.53 petang dan pihak kami masih jalankan siasatan berhubung punca kebakaran," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban boleh salurkan ke akaun Maybank 156235022393 atas nama Khatijah Ismail atau 156235106657 Maizatul Ismail.