Nama jambatan angkat diumum ketika dibuka secara rasmi - MB

Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dibuka kepada semua kenderaan hingga 17 Jun untuk percubaan ketika tinjauan. - Foto Bernama
Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dibuka kepada semua kenderaan hingga 17 Jun untuk percubaan ketika tinjauan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nama rasmi jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan diumumkan ketika ia dibuka secara rasmi kelak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata ketika ini kerajaan negeri masih lagi berbincang mengenai nama rasmi jambatan tersebut dan pelbagai aspek sedang dipertimbangkan.

“Nama itu kerajaan negeri ada cadangan-cadangan tertentu dan kita sedang perhalusi dan akan buat keputusan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkannya di perkarangan Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.

Tegasnya, tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum diputuskan lagi.

“Selepas ditutup 17 Jun ini, kita akan buat penambahbaikan setelah kita tengok dalam masa 15 hari itu (tempoh percubaan) apa masalahnya, seperti ada atau tidak papan tanda baharu yang perlu dibuat dan pelbagai aspek lain sebelum kita buat keputusan baharu bila hendak buat (perasmian jambatan),” katanya.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu dibuka untuk percubaan Ahad lepas hingga 17 Jun.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini, melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan itu mula dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Artikel Berkaitan:

Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun ini, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain projek itu dan tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai. - Bernama