Urus zakat urusan umat Islam sahaja: Mufti Selangor

A
A
A

SHAH ALAM – Pengurusan zakat adalah urusan umat Islam sahaja dan pengagihan zakat oleh bukan Islam haruslah dielakkan kerana mengundang lebih banyak kemudharatan berbanding kebaikan.

Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, urusan pengagihan zakat hendaklah dilakukan oleh mereka yang dilantik dan mendapat tauliah sebagai wakil Duli Yang Maha Mulia Tuanku sahaja.

Menurutnya, Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah ketua agama Islam.

“Maka, semua pengurusan zakat adalah di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah mewakilkan kepada Lembaga Zakat Selangor untuk mengutip dan mengagih harta zakat kepada mereka yang berhak,” tegasnya melalui satu kenyataan rasmi kepada Sinar Harian, hari ini.

Tamyes berkata demikian susulan timbul isu tiga pemimpin bukan Islam iaitu Adun Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Plato yang mengedarkan zakat kepada asnaf zakat di Pulau Pinang.

Tamyes turut berkongsikan kisah Saidina Umar Al-Khattab RA telah menolak seorang nasrani yang diberikan tugas oleh Abu Musa sebagai penulis zakat.

Menurutnya, Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata “Janganlah kalian serahkan amanah itu kepada mereka kerana mereka telah berbuat khianat kepada Allah SWT.

“Ini menunjukkan bahawa pengurusan zakat adalah urusan umat Islam semata-mata,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Tamyes turut menegur sikap pemimpin Islam yang menganjurkan majlis buka puasa di kuil atau rumah ibadat bukan Islam.

“Adalah lebih baik menganjurkan program iftar di perkarangan masjid, surau atau dewan orang ramai dengan menjemput rakan-rakan bukan Islam dan dalam masa yang sama berdakwah memberi kefahaman tentang agama Islam kepada mereka.

Menurutnya, secara umumnya syarak tidak menetapkan tempat-tempat tertentu untuk umat Islam berbuka puasa.

“Berbuka puasa di sesuatu tempat tidak membatalkan puasa seseorang atau menyebabkan nilai puasanya berkurang. Namun begitu, sebaik-baik ibadah itu hendaklah dilakukan di tempat yang sesuai jauh dari unsur-unsur syirik dan menyengutukan Allah SWT.

“Tidak boleh dicampuradukkan dengan amalan dan kepercayaan agama lain.

“Berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam untuk mencapai tujuan keharmonian dan perpaduan bukanlah satu cara yang baik. Pemimpin disyorkan memilih platform lain demi mengelakkan fitnah terhadap akidah umat Islam.

Tamyes turut berkongsi sejarah kisah Saidina Umar Al-Khattab RA yang dipelawa untuk solat di dalam gereja oleh paderi di Jurusalem.

“Riwayat berkenaan menggambarkan bagaimana Saidina Umar Al-Khattab RA sangat berhati-hati dalam tindakannya dan sentiasa memikirkan mudharat yang bakal timbul terhadap agama pada masa hadapan.

“Atas dasar itu, Saidina Umar Al-Khattab RA dilihat bersikap tegas terhadap perkara yang mempunyai kaitan terhadap ibadah dan aqidah.

Menurutnya, tindakan itu bertepatan dengan konsep saddu az-zara’i iaitu menutup pintu-pintu kemudharatan dan kerosakan.

“Sesungguhnya, ibadah Islam tidak akan dilakukan di dalam rumah ibadat yang mempunyai unsur syirik dan kekufuran,” katanya.