Lantikan Latheefa akan membuatkan kerajaan hilang kredibiliti

A
A
A

KUALA LUMPUR - Lantikan bekas ahli PKR, Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyebabkan kerajaan hilang kredibiliti dan ketelusan, tegas peguam kanan, Datuk Shaharudin Ali.

Beliau berkata, ini kerana lantikan sedemikian tidak pernah berlaku sewaktu pentadbiran BN.

"Apa jua lantikan ke jawatan tinggi agensi "penguatkuasa undang undang negara", dari kalangan aktivis kanan parti politik atau ahli berjawatan dalam parti politik yang memerintah, akan menimbulkan persoalan yang serius samada kerajaan ini faham atau tidak makna ketelusan atau 'transparency' dalam tadbir urus negara.

"Saya rasa Kerajaan ini akan berdepan dengan isu kredibiliti dan ketelusan yang tidak pula berlaku seperti ini di zaman BN," katanya melalui kenyataan hari ini.

Latheefa yang merupakan peguam dan Pengarah Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal hari ini.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, pelantikan Latheefa sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

JPM menyatakan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau.

Tempoh perkhidmatan Mohd Shukri sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lantikan berkenaan yang mengejutkan banyak pihak berikutan beliau merupakan ahli PKR, Latheefa menjelaskan beliau telah meletak jawatan sebagai ahli parti itu semalam.

"Terima kasih atas nasihat tetapi saya sudah menghantar surat perletakan jawatan saya sebagai ahli biasa PKR semalam selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas nasihat daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil supaya Latheefa mengambil langkah serupa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang meletakkan jawatan sebagai ahli Parti Amanah.

Pelantikan tersebut turut menimbulkan pelbagai reaksi kerana berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan setiap lantikan membabitkan jawatan penting negara perlu melalui Parlimen.