Kembar tiga seronok terima hadiah pakaian raya

Semua penerima asnaf kelihatan gembira ketika bergambar bersama selepas mendapatkan pakaian raya yang diagihkan melalui yayasan.
A
A

KOTA BHARU - Tiga pasangan adik beradik kembar berusia 7 tahun gembira menerima sumbangan pakaian hari raya daripada Yayasan Amal Datuk Zul Wisma.

Nur Aisyah, Nur Amirah dan Nur Atirah Sazali adalah antara 17 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keling yang terpilih untuk projek tersebut.

Ibunya, Maznah Ismail, 43, berkata, sumbangan itu diibarat sebagai hadiah memandangkan dia masih belum lagi membeli pakaian raya untuk anak kembarnya itu.

"Suami saya Sazali Wan Che Ngah, 43, cuma seorang buruh dan kami masih ada tiga lagi anak masih belajar dalam tingkatan empat, tingkatan dua dan satu. Bajet kami terhad dan selalunya adik saya yang tolong belikan baju raya untuk anak kami.

"Kami gembira apabila pihak sekolah maklumkan anak kami terpilih untuk terima sumbangan baju raya daripada Yayasan Amal Datuk Zul Wisma. Terima kasih kami ucapkan kepada yayasan dan semua penyumbang projek ini," katanya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kampung Keling, Aziz Zawawi berkata, ia merupakan sumbangan kali kedua diterima daripada yayasan itu selepas penyerahan zakat tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad berkata, ia adalah projek rutin mereka setiap tahun untuk membantu mengagihkan sumbangan zakat ahli dan penyumbang lain melalui yayasan.

Beliau berharap, sumbangan itu akan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga asnaf dan miskin dalam menyambut Aidilfitri kali ini.