Rahsia 'menyolek' songket Sarawak

Antara pendekatan susunan motif yang kita gunakan pada songket adalah corak penuh, corak bunga tabur dan berjalur perlu ditenun satu persatu berbanding bunga penuh yang ditenun sekali gus dan tidak perlu menukar benang ketika menunjukkan kain songket bunga tabur yang dihasilkannya di Pusat Tenun Songket Sarawak, Kampung Rajang, Belawai menerusi Program Junket Journalism anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) baru-baru ini. -Foto Bernama
Antara pendekatan susunan motif yang kita gunakan pada songket adalah corak penuh, corak bunga tabur dan berjalur perlu ditenun satu persatu berbanding bunga penuh yang ditenun sekali gus dan tidak perlu menukar benang ketika menunjukkan kain songket bunga tabur yang dihasilkannya di Pusat Tenun Songket Sarawak, Kampung Rajang, Belawai menerusi Program Junket Journalism anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) baru-baru ini. -Foto Bernama
A
A
A

MUKAH - “Sesiapa yang ingin jadi penenun di pusat ini wajib menyolek. Kalau datang dengan tidak pandai menyolek, memang tidak akan jadi songket Sarawak".

Pengerusi Kumpulan Tenun Songket Rajang, Saanah Suhaili, 63, berkata demikian kepada penulis ketika ditanya apakah kriteria penting yang perlu ada bagi penenun songket Sarawak dalam menghasilkan kraf warisan berkualiti tinggi itu.

Mendengar perkataan ‘menyolek’, penulis lantas membayangkan penenun yang cantik bersolek, masing-masing tekun mengusahakan tenunan songket masing-masing. Dalam masa yang sama turut berfikir apa pula kaitan ‘menyolek’ dengan menenun songket?

Perbualan itu berlangsung di Pusat Tenun Songket Sarawak, Kampung Rajang, Belawai.

Ia terletak kira-kira sejam perjalanan dari Sibu. Penulis dan beberapa orang wakil media lain dibawa melihat perkembangan industri kraf tekstil di bumi Kenyalang itu di bawah Program Junket Journalism anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Sambil memerhati pemandangan sekeliling, anggapan saya bahawa pastinya penenun di situ sakan berhias, tetapi kebanyakannya hanya mengenakan lipstik merah.

“Ramai keliru apabila diberitahu setiap penenun kena pandai menyolek. Bagi masyarakat suku kaum Melanau di kampung ini, menyolek bukanlah bermaksud menyolek wajah untuk nampak cantik tetapi ia merupakan antara satu proses penghasilan tenunan songket Sarawak.

“Yang perlu dikuasai ialah kemahiran. Seperti mana kita menyolek wajah untuk nampak cantik, kemahiran menyolek songket ini jugalah yang akan menentukan nilai kualiti warisan ini di samping mengekalkan keunikannya. Itulah sebabnya mengapa songket Sarawak terus menjadi rebutan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri,” kata Saanah.

Artikel Berkaitan:

Rahsia menyolek

Hampir tiga dekad beroperasi sejak 1991, nama songket Sarawak Kampung Rajang yang merupakan perusahaan seni tenunan tradisional masyarakat suku kaum Melanau di pusat tenunan kampung itu sudah tersohor dalam kalangan peminat kraf warisan berkenaan.

Bertunjangkan kehalusan dan ketelitian perincian serta motif eksklusif, songket ini sentiasa menjadi buruan golongan kenamaan termasuk kerabat diraja serta pemimpin terkemuka negara yang ingin menggayakannya untuk majllis rasmi mahupun hari perayaan.

Malah, boleh dikatakan Saanah bersama tujuh penenun lain di pusat tenunan itu sudah tidak menang tangan dibuatnya untuk menyiapkan tempahan sempena Hari Raya Aidilfitri yang diterima sejak akhir 2018 lagi.

Berbekalkan pengalaman lebih 29 tahun dalam bidang tenunan, anak kesembilan daripada 10 beradik ini berkata, rahsia besar songket Sarawak terletak pada kemahiran menyolek setiap penenun, yang menghasilkan kelainan serta keunikan.

Tenunan songket Sarawak dikenali keunikannya yang berbeza dengan songket di negeri Pantai Timur kerana menggunakan teknik sembunyi benang semasa proses menyolek.

Ini menjadikan jahitan di bahagian luar dan dalam tiada bezanya, sekali gus membolehkan kedua-dua bahagian dipakai.

“Proses tenun songket Sarawak dengan Terengganu dan Kelantan sama saja seperti melonseng, menganing, menggulung benang, mengarap dan menyongket bunga. Bezanya cuma terletak pada proses menyolek di mana setiap penenun di sini perlu mahir sebanyak 30 sifir khas, “ kata Saanah.

Beliau menjelaskan secara umumnya 30 sifir khas itu ialah satu formula yang digunakan oleh penenun songket Kampung Rajang semasa mengikat benang di loseng untuk menghasilkan corak sebelum ditenun.

Pengiraan bermula dari reka corak motif, penghasilan loseng sama ada kosong atau berjalur serta pakan teknik ikat.

Menurut beliau, penenun perlu menguasai sifir khas tersebut sebelum mempelajari proses lain kerana ia merupakan asas penting untuk teknik sembunyi benang serta rekaan motif pada kain songket.

Semasa proses menyolek ada ketikanya penenun akan menggabungkan beberapa siri sifir bagi membentuk motif seperti “manis-manis sayang, sukit lidi dan tabar.”

Beliau mencipta sifir khas itu pada 1993 bersama Dayang Norsalam Pengiran Parsih yang pernah diangkat oleh Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Tenunan Songket Sarawak.

Nilai eksklusif

Melihat keunikan songket yang dihasilkan, maka tidak hairanlah apabila harga sehelai samping songket penghasilan pusat tenunan ini pernah mencecah RM10,000 manakala yang paling murah dijual sekitar harga RM900.

Menurut Saanah yang juga pernah diberi anugerah Tukang Ulung Tenunan Songket Sarawak oleh Kraftangan Malaysia, penentuan harga adalah berdasarkan kepada kerumitan motif, jenis benang dan tempoh yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu tempahan.

“Antara pendekatan susunan motif yang kita gunakan pada songket adalah corak penuh, corak bunga tabur dan berjalur. Biasanya harga songket untuk bunga tabur lagi mahal berbanding bunga penuh.

“Bunga tabur ini lambat hendak disiapkan kerana perlu ditenun satu persatu berbanding bunga penuh yang ditenun sekali gus dan tidak perlu menukar benang.

“Tambah lagi, kalau motif bunga tabur yang memerlukan penggunaan banyak benang, ia boleh mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkannya,” katanya.

Untuk Hari Raya kali ini, beliau berkata motif paling digemari pelanggan adalah tampuk manggis dan bunga pecah lapan manakala warna hitam menjadi pilihan kerana ia mudah digayakan dengan pelbagai warna lain.

Istimewanya, pusat tenunan ini tidak menghasilkan kain songket pada skala besar, sebaliknya menggunakan konsep tempahan pelanggan bagi memelihara nilai eksklusifnya.

Ini terbukti apabila semua koleksi songket yang ada di pusat berkenaan sudah mempunyai pemilik dan mereka langsung tidak mempunyai simpanan stok seperti mana perusahaan komersial songket lain.

“Raya kali ini kita menerima tempahan sebanyak 20 helai tenunan songket dan kebanyakannya untuk samping berbanding kain sarung. Sebolehnya kami cuba elak daripada mengambil banyak tempahan pada sesuatu masa bagi menjamin kualiti songket Sarawak,” katanya.

Golongan pelapis

Beliau yang mewarisi seni kraf tersebut daripada emaknya berkata Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) banyak membantu Kumpulan Tenun Songket Rajang dalam mempromosikan produk sehingga dikenali ramai dan pernah dijual ke luar negara seperti Australia serta New Zealand.

Antara bantuan diberikan adalah kursus tenunan songket, bengkel, bahan mentah, promosi jualan mahupun penambahbaikan produk.

“Terima kasih kepada dua agensi tersebut yang berjaya mempopularkan kembali songket Sarawak di kampung ini.

“Sebelum ini, memang kampung ini terkenal dengan perusahaan tenunan songket tetapi kebanyakan penenun terpaksa berhenti pada 1972 kerana kesukaran mendapatkan benang,” jelas Saanah.

Biarpun gembira dengan perkembangan tersebut, Saanah masih bimbang terhadap masa depan songket Sarawak memandangkan kebanyakan generasi muda di kampungnya tidak berminat mempelajari warisan berkenaan.

Apatah lagi, beliau bersama penenun lain semuanya sudah berusia dan majoritinya tidak mempunyai anak untuk diwariskan kemahiran tersebut kerana kebanyakannya tidak berkahwin.

Kebimbangan serupa turut dikongsi Salmiah Aba, 73, yang mengakui kudratnya untuk menenun tidak lagi sekuat dahulu dan kerana itulah dia menaruh harapan besar untuk memastikan khazanah berharga ini tidak usang dimamah waktu.

Penenun warga emas ini yang akan menenun selagi terdaya berkata ramai generasi muda beranggapan seni songket ini tidak menjanjikan pendapatan menarik walhal mereka silap sama sekali.

“Daripada 19 penenun, sekarang hanya tinggal lapan sahaja yang masih aktif. Memang kami tidak ada pelapis buat masa sekarang.

“Harapan penenun di sini supaya kami terus sihat dan dapat mewariskan kemahiran ini kepada generasi muda bagi memastikan kesinambungannya,” kata Salmiah yang sudah menenun songket selama 29 tahun. - Bernama