Masih tunggu keputusan DNA tulang di Gua Kandu

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Pihak polis masih menunggu hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang yang ditemui berhampiran Gua Kandu, Kampar sama ada milik peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, biarpun berdasarkan penelitian pakar sebelum ini menganggarkan usia tulang tersebut sudah empat tahun, pihaknya masih menantikan pengesahan.

Menurutnya, setakat ini pihak polis tidak dimaklumkan tempoh keputusan tersebut akan diperoleh namun ia penting bagi memberikan petunjuk.

"Bagaimanapun kita tetap menunggu keputusan ujian makmal itu, kertas siasatan setakat ini sudahpun lengkap.

"Jika sekiranya ada perkembangan baharu baru kita tambah dalam siasatan itu dan kes ini disiasat di bawah kes orang hilang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, seramai tujuh individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bebas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Mohammad Ashraf.

Hasil siasatan juga mendapati kehilangan Mohammad Ashraf tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat berdasarkan semakan dan pemeriksaan terhadap akaun bank, pergerakan kereta, komunikasi menerusi telefon bimbit miliknya.

Kehilangan misteri Mohammad Ashraf mendapat perhatian seluruh negara apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan secara fizikal mahupun spiritual.

Artikel Berkaitan:

Malah pada 13 April lalu, seramai 170 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman turut menggerakkan Operasi Khas Op Kesan bagi membantu mencari Acap bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu harap Acap pulang sebelum Ramadan