Toleransi ada hadnya, kata Mufti Pahang

Abdul Rahman Osman
Abdul Rahman Osman
A
A
A

KUANTAN - "Tidak perlu bertoleransi hingga membelakangkan hukum syarak" kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berhubung isu agama yang dilihat seolah-olah dipersenda dan dipolitikkan oleh segelintir pemimpin.

Sebelum ini, warganet kecoh memperdebat isu agihan zakat oleh pemimpin bukan Islam dan dihangatkan lagi dengan majlis berbuka puasa di kuil.

Abdul Rahman berkata, ada perkara yang boleh bertoleransi tetapi tidak sewajarnya membabitkan isu agama sehingga menyebabkan Islam dipandang serong.

Menurutnya, agihan zakat oleh pemimpin bukan Islam menyalahi hukum syarak, malah berbuka puasa di rumah ibadat agama lain juga haram.

"Zakat ini sebahagian daripada rukun Islam dan disyariatkan oleh ALLAH. Menjadi kesalahan sekiranya sebarangan orang mengambil alih tugas itu, apatah lagi jika orang bukan Islam.

"Zakat ini berada di bawah majlis zakat dan di bawah tuanku Sultan serta hanya yang diperkenan serta Amil dilantik sahaja boleh melakukan agihan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, berbuka puasa di kuil tidak sepatutnya berlaku kerana bercanggah dengan amalan Islam.

"Sepatutnya kita ajak orang bukan Islam berbuka di masjid dan selepas itu macam mana solat berjemaah dilaksanakan. Bukan berbuka tetapi solat berjemaah selepas berbuka jadi keutamaan tetapi jika di kuil macam mana nak laksanakannya.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena ajak mereka untuk melihat keindahan Islam dan bukannya bertoleransi sehingga membelakangkan agama. Ada perkara dan hadnya dalam toleransi," katanya.

Jelasnya, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan berharap kes sedemikian tidak berlaku di Pahang.

"Menjadi perkara pelik apabila kes sebegini berlaku. Kita tidak boleh menyama ratakan semua perkara dalam Islam," katanya.