KJ iri hati dengan populariti Najib?

Khairy dan Najib
Khairy dan Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini didakwa dalam fasa tertekan dan iri hati terhadap peningkatan sokongan dan populariti Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding dirinya.

Dakwa Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil sebab itulah Khairy (KJ) dilihat tidak berhenti 'meroyan' apabila nama Najib kembali bergema dan disebut-sebut.

Dakwa bekas pegawai khas Najib itu, sejak selepas PRU14, populariti Najib semakin meningkat manakala populariti KJ semakin merudum.

"Ini adalah kerana Datuk Seri Najib dilihat menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin pembangkang yang baik dan berkesan kerana kerap membuat hujah-hujah semak-imbang yang bernas terhadap kerajaan di Parlimen dan media sosial.

"Manakala KJ dilihat sebagai seorang oportunis yang tidak berprinsip dan bercita-cita tinggi serta gopoh mengejar jawatan sehingga mengkhianati sahabat seperjuangan dan pemimpin-pemimpin sendiri di dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy kini dilihat 'cukup pantang' apabila mendengar kembali nama Najib.

Terbaharu Khairy membidas cadangan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Lokman Noor Adam yang mengusulkan nama Najib agar dilantik sebagai Presiden Umno sementara selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan melepaskan tekanan jawatannya kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas lanjut, Isham berkata kebanyakan rakyat dan penyokong Umno di akar umbi menyambut baik tindakan Najib ini namun menolak tindakan-tindakan KJ ini yang dilihat seolah duri dalam daging dalam Umno.

Artikel Berkaitan:

"Orang di akar umbi kerap bertanya, sekiranya KJ boleh mengkhianati pemimpin-pemimpin yang banyak menolong beliau sebelum ini, apakah beliau tidak akan mengkhianati sesiapa sahaja apabila keadaan tidak menyebelahi kepentingan dirinya?," katanya.

Jelas Isham lagi, dalam temuramah secara langsung di Nothing to Hide Media pada Isnin lalu, apabila ditanya sama ada beliau ingin kembali menerajui Umno, Najib menjawab bahawa beliau kini hanya memberi fokus kepada membela dan membawa isu-isu rakyat yang kini sedang susah, dan beliau tidak mengejar atau mementingkan jawatan.

"Berkenaan dengan saranan supaya Najib menjadi Ketua Umum Umno, beliau telah menjawab bahawa beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan tersebut," katanya.