Laluan baharu Melaka River Cruise bermula November

Melaka River Cruise - Foto sumber internet
Melaka River Cruise - Foto sumber internet
A
A
A

MELAKA - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan menambah baik mutu perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) bagi menarik lebih ramai kunjungan pelancong termasuk memperkenal laluan baharu dengan memanjangkan laluan sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin berkata laluan baharu itu akan melibatkan perjalanan sejauh 10 kilometer keseluruhan dengan laluan dari Jeti Pengkalan Rama hingga ke Melaka Sentral yang dijangka bermula November atau Disember depan.

Katanya laluan sedia ada hanya membabitkan perjalanan sejauh 4.5 kilometer menyusuri Sungai Melaka bermula dari Jeti Pengkalan Rama hingga ke Dataran Sungai Melaka.

"Perjalanan laluan baharu MRC ini memakan masa 1 jam 45 minit selain dijangka perkhidmatan teksi air turut akan diperkenalkan kepada orang ramai dan pelancong sebagai pilihan untuk mengelakkan kesesakan di tengah bandar raya.

"Ia merupakan sebahagian daripada Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua yang dilihat bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke negeri ini," katanya.

Azlan berkata sempena perayaan Aidilfitri, perkhidmatan MRC akan ditutup bermula 6 petang esok seterusnya cuti sehari pada Rabu dan akan beroperasi seperti biasa pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, beliau berkata PPSPM turut memperkenalkan program perintis jurumudi bot dengan usaha sama beberapa agensi bagi memberi peluang kerjaya kepada golongan belia di Sungai Melaka.

"Seramai 28 peserta termasuk tujuh wanita menjalani latihan selama dua bulan sepenuh masa dengan mengikuti lima modul berkaitan pengendalian bot bagi melayakkan mereka menjadi seorang jurumudi dan kapten feri," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: