Kerajaan Selangor maklum struktur bangunan JAKESS: MB

Amirudin Shari ketika sidang media pada program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam disini.
Amirudin Shari ketika sidang media pada program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam disini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedia maklum mengenai keadaan bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor yang difahamkan mengalami beberapa masalah berkaitan strukturnya.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, apa yang berlaku ini bukanlah isu baharu sebaliknya melibatkan perjanjian sejak 2008.

"Daripada tahun ke tahun sehinggalah kita cuba menyelesaikannya dengan pemaju dan syarikat yang telah diberikan tender untuk membina, difahamkan bukan saja melibatkan satu tempat malah beberapa tempat dan pejabat agama daerah di negeri ini.

"Kerajaan Selangor sedaya upaya mengambil tindakan sewajarnya dengan pihak pemaju, tindakan termasuk penalti juga sedang dalam pertimbangan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.

Katanya, buat masa ini pihaknya telah menerima laporan antaranya mengenai cermin pecah, bumbung runtuh dan beberapa kerosakan yang lain.

"Proses baik pulih sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk beberapa bangunan.

"Seperti saya maklumkan, kes tersebut merupakan isu lampau yang terpaksa kita hadapi untuk selesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beberapa struktur bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor(JAKESS) dilihat mengalami masalah.

Sumber memaklumkan terbaharu, bahagian atas runtuh sehingga memaksa JAKESS menutup laluan Hakim.

"Sebelum ini cermin lobi utama pecah secara tiba-tiba dan cermin di tingkat atas juga pecah dan JAKESS terpaksa menutup sebahagian lobi utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," kata sumber itu.