Dakwah alergi lawan strategik

A
A
A

SELEPAS sebulan berjihad melawan nafsu dalam bulan Ramadan yang penuh hikmah ini, apa pengajaran yang kita dapat? Adakah kita berjaya mentajdid budaya kerja kita dan cara kita fikir tentang dakwah?

Dakwah kita selama ini mengalami penyakit alergi yang parah. Kita sangat alergi pada sebarang perubahan makro. Kalau nak ubah pun, hanya sekadar perubahan mikro yang kecil-kecil sahaja seperti logo organisasi, slogan dan fesyen tudung!

Kita ubah pengarah atau presiden organisasi dakwah tapi mindset dakwah tetap sama atau hampir sama. Inilah cabaran Yadim, Perkim, Macma, Angkatan Skuad Mubaligh, ABIM, jabatan agama, Jakim dan lain-lain. Dakwah kita hanya tukar kepala tetapi tetap alergi pada perubahan isi kepala. Kulit berubah-ubah tetapi isi tetap dalam paradigma dan wacana yang sama.

Bila sebuah organisasi dakwah berubah ketua, saya biasanya akan tanya ketuanya soalan ini: "Apakah yang membezakan yang lama dengan yang baru?" Respon biasanya panjang lebar dan boleh dijangka: "Kami akan buat banyak program dakwah seperti dialog antara agama, pengkaderan dai, anugerah tokoh, street dakwah, kelas-kelas fardu ain dan fardu kifayah, konvensyen high impact, buat analisis SWOT dan lain-lain."

Respon yang menyenaraikan begitu banyak aktiviti satu persatu memang dah 'sangkarable' kerana ia adalah hasil semangat baharu yang berkobar-kobar tetapi bukan pemikiran baharu. Mindset lama ini masih bermula dengan 'aktiviti oriented' iaitu kami nak buat itu dan ini, lalu memberi senarai aktiviti sepanjang tahun! Ini bukan dakwah strategik.

Apa makna strategik? Yahudi dulu sebelum tertubuhnya negara Israel sebenarnya mempunyai mindset yang alergi kepada sebarang perubahan makro juga seperti Muslimin sekarang. 'Pondok-pondok' agama Yahudi akan mengajar anak-anak tentang ketuanan Yahudi dan bagaimana Tuhan telah menjanjikan penubuhan negara Israel satu hari nanti. Seorang 'Imam Mahdi' yang bergelar 'Al-Masih' akan muncul untuk menubuhkan negara Israel. Sementara menunggu kedatangan Al-Masih ini, ulama-ulama Yahudi menyeru kaum Yahudi untuk komited dengan aktiviti keagamaan yang telah disenaraikan sebagai rutin harian yang 'sangkarable'.

Kalaulah Theodor Herzl, Bapa Zionism hanya mengikut senarai aktiviti-aktiviti keagamaan yang sangkarable ini, sudah tentu negara Israel tidak akan tertubuh hari ini. Tetapi Herzl berani untuk melancarkan mindset, wacana, paradigma dan pelan yang amat 'unsangkarable', luar biasa dan bersifat strategik.

Kalau anda tanya Theodor Herzl tentang apa beza organisasi-organisasi Yahudi yang lama dengan organisasi Zionisnya, sudah tentu responnya bersifat berani, strategik dan makro: "Visi kami ialah tubuhkan negara Israel yang berpusat di Jerusalem tanpa menunggu kedatangan Al-Masih, rakan strategik kami ialah Britain, Amerika, Eropah, penghalang utama ialah ulama Yahudi konservatif dan pesaing utama kami ialah Khilafah Uthmaniyyah!"

Artikel Berkaitan:

Theodor Herzl mengumpul segala tokoh-tokoh Yahudi yang terdiri daripada ilmuwan, ulama, ahli perniagaan, ahli politik demi untuk mengubah mindset ulama-ulama agama Yahudi yang ingin kekalkan status quo dan budaya gerak kerja yang lama. Ulama Yahudi ini sangat alergi kepada perubahan makro kerana mereka mahu kekal relevan sebagai hero umat! Kepimpinan perlu sentiasa bersama ulama tradisi! Ulama periuk nasi tidak akan mampu mencipta Ode Dunia Baru kerana mereka ini hanya kuat bertelingkah sesama sendiri dan tidak mengenalpasti siapa pesaing utama mereka melainkan saingan sesama sendiri juga. Herzl mengajak umat Yahudi untuk bersifat kompetitif dengan mengenalpasti pesaing yang lebih global iaitu Khilafah Uthmaniyyah.

Kalau pesaing utama anda ialah sebuah kampung, maka kampunglah mindset dan budaya kerja. Tetapi kalau anda mengenalpasti pesaing anda sebagai sebuah kuasa global, maka mindset dan budaya kerja anda pun akan bersifat global, kompetitif dan berani.

Rakyat Yahudi seluruh dunia hanya berjumlah 15 juta orang sahaja. Rakyat Malaysia berjumlah 30 juta lebih. Umat Islam seluruh dunia berjumlah 2 bilion! Dengan semangat pasca-Ramadan, muhasabahlah dengan soalan ini: "Bagaimana Yahudi dengan hanya 15 juta orang mampu menguasai dunia dalam setiap bidang termasuk politik, ekonomi, teknologi, sains dan falsafah?"Kalau pesaing utama anda ialah sebuah kampung, maka kampunglah mindset dan budaya kerja."* Abdul Naser Tun Rahman ialah Ketua Kluster Silang-Budaya NUIM-Yadim