NGO Felda puji langkah kerajaan salur bantuan khas hari raya

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Felda hari ini menyambut baik langkah kerajaan menyalurkan bantuan khas RM300 kepada 112, 635 peneroka di seluruh negara.

Mereka menyifatkan bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban para peneroka dalam menyambut musim perayaan ini.

Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dalam kenyataannya melalui Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) di atas bantuan Hari Raya itu.

Tindakan kerajaan menyarankan agar bayaran tertunggak Sara Hidup (SH) dan Pendahuluan Hasil (PDH) kepada warga Felda turut dipuji.

“Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memberi bantuan tersebut telah melegakan warga Felda bagi membuat persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan Jawatankuasa Perunding Peneroka ini juga disokong ahlinya yang lain termasuk Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan, Karib Mohd Saleh.

“Saya amat berterima kasih kepada Dr Mahathir serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana sentiasa memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dipelihara.

“Sumbangan duit raya ini sebagai contoh bahawa kerajaan prihatin dengan masalah peneroka dalam menyediakan keperluan menyambut hari raya di saat harga sawit yang rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Peneroka Wilayah Segamat, Md Edros Kandar turut berkongsi kenyataan yang sama.

“Saya mewakili 11,418 peneroka Felda Wilayah Segamat merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan, khasnya kepada Perdana Menteri yang prihatin meluluskan pemberian duit raya sebanyak RM300.

“Dengan pemberian duit raya ini dapat membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan sempena hari raya, disebabkan harga komoditi sawit agak tidak memberangsangkan. Pemberian duit raya ini sememangnya cukup bernilai bagi kami warga peneroka,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, Pengerusi Gabungan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Mempaga, Azizah Bahari turut berkongsi rasa syukur atas pengumuman Perdana Menteri berkenaan Bantuan Khas Aidilfitri.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pemberian sumbangan duit raya kepada seluruh peneroka Felda yang amat bermakna dan dapat meringankan beban kewangan peneroka.

“Sumbangan ini dapat membantu serba sedikit perbelanjaan keperluan bagi menyambut Hari Raya. Keprihatinan Dr Mahathir menjaga kebajikan peneroka amat disanjungi dan dihargai,” katanya.

Selain itu, generasi baharu Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir.

MBFM dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Dr Mahathir atas keprihatinan beliau dengan pemberian bantuan Aidilfitri itu.

Presidennya, Muhammad Fadzli Hasan berkata, walaupun agensi itu sedang menghadapi masalah kewangan, namun warga peneroka wajar dibantu bagi menyambut Hari Raya.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, bonus Hari Raya adalah dari duit Felda diagihkan kepada warga peneroka, tetapi dalam keadaan kewangan Felda yang tidak berapa stabil, wajarlah ianya dibantu oleh pihak kerajaan.

“Bukti Felda menghadapi masalah kewangan ialah apabila ia terpaksa mendapatkan bantuan kewangan RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam pembentangan Kertas Putih.

“Namun Felda wajar mendahulukan membayar segala tunggakan kepada peneroka dan kontraktor serta mengekalkan bayaran sara hidup sebanyak RM1,500,” katanya.

Aktivis Felda, Datuk Zulkefli Nordin mewakili Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda (SGBF) juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri.

“Pengumuman dari Perdana Menteri dan arahan kementerian kepada Felda, kami sambut dengan perasaan amat gembira dan terharu kerana ini dapat membantu emak ayah kami peneroka Felda mengurangkan beban kewangan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.