Perantau pulang berhari raya, ini nasihat MB Kelantan

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menasihatkan perantau yang pulang berhari Raya di Kelantan untuk utamakan keselamatan dan sentiasa berdoa sepanjang perjalanan.

Ahmad berkata, diharapkan semua yang memandu kenderaan dapat mengikuti peraturan jalan raya yang ditetapkan semoga selamat tiba di kampung halaman masing-masing.

“Saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Sempena Aidilfitri, saya berharap kita gunakanlah peluang ini untuk bersama-sama permaafan dan saling mengunjungi antara satu sama lain sama ada bersama kaum keluarga, sanak-saudara, sahabat handai, dan kenalan,” katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Selain itu, beliau juga berharap anak-anak Kelantan yang pulang dapat mengikuti serta memberi sokongan kepada program 'Kelantanku Bersih dan Ceria' supaya bersama-sama menjaga kebersihan sama ada di jalan raya, di kampung halaman, atau di mana sahaja.

“Hendaklah kita menjaga kebersihan. Semoga penghayatan kebersihan ini benar-benar melambangkan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT,” katanya.

Tambahnya, beliau juga menasihatkan rakyat negeri ini supaya berjimat cermat menggunakan bekalan air sepanjang Aidilfitri ini memandangkan dijangkakan tidak kurang sejuta rakyat Kelantan pulang berhari Raya.

“Bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kekurangan air dan berisiko, kerajaan menyediakan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga hendaklah berjimat cermat dan elakkan pembaziran air supaya ALLAH SWT memberi keberkatan dan dapat kita menyambut hari raya dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Beliau juga berharap agar ibadat sepanjang Ramadan menjadi amalan-amalan soleh yang menambah ketakwaan kepada ALLAH SWT.

“Insya-ALLAH, Ramadan kita tahun ini lebih baik dan lebih banyak mendapat ganjaran pahala dan kebajikan daripada ALLAH SWT,” katanya.