'Boleh kutip derma, tapi perlu ada tauliah'

Halid Sono
Halid Sono
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 20 individu yang mengutip derma tanpa tauliah ditahan dalam operasi sepanjang Ramadan di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Halid Sono berkata pihaknya tidak menghalang sesiapa sahaja untuk mengutip derma namun ia perlu mendapat kebenaran.

Katanya, daerah Tangkak mencatatkan angka tangkapan paling tinggi seramai 14 orang sehingga hari ini sementara daerah Muar 3 orang, Johor Bahru dan Segamat 2 orang serta Kulai seorang.

"Nak kutip dana untuk bina masjid, sekolah itu bagus kerana mengalakkan sedekah tapi perlu mendapatkan tauliah. Datang ke pejabat kadi, dapatkan kebenaran supaya mereka yang mengutip derma ini dalam pengetahuan pihak berkuasa agama.

"JAINJ tidak pernah sekali-kali menghalang umat Islam bersedekah atau mengutip derma namun dalam usaha untuk mengelakkan sindiket berleluasa kita sarankan dapatkan kebenaran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau akui umat Islam di negeri ini pemurah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana dikurniakan pahala berganda.

"Kita sarankan tauliah ini untuk elak pihak tertentu yang ambil kesempatan dengan melatih beberapa orang dipakaikan jubah, kopiah dan tabung itu ditampal dengan pelbagai rintihan tapi rupa-rupanya sindiket.

"Dengan kemuliaan Ramadan biasanya umat Islam memang suka menderma kerana pahalanya berlipat kali ganda. Rupa-rupanya dalam situasi itu ada pihak yang mengambil kesempatan. Itu yang kita tak nak, bukannya JAINJ halang orang nak kutip derma atau menderma," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mana-mana individu yang dikesan melakukan aktiviti mengutip derma tanpa tauliah akan ditahan dan didakwa di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai lebih waspada supaya umat Islam tidak ditipu.