Moorthy liabiliti besar kepada kerajaan?

Moorthy
A
A

SHAH ALAM - Petisyen awam di media sosial yang menggesa P Waytha Moorthy meletakkan jawatan wajar menjadi petanda jelas bahawa Menteri Perpaduan tersebut gagal melaksanakan tugasnya dengan baik.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican berkata, ratusan ribu rakyat yang membuat gesaan tersebut tidak mungkin membuat kesilapan, Moorthy sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Menurutnya, ianya merupakan kenyataan awam yang jelas menggambarkan bahawa Moorthy seorang menteri yang gagal dalam mengendalikan isu berkait kementeriannya.

“Lebih menyedihkan, seorang menteri yang sepatutnya merancang dan mengusahakan ikhtiar penyelesaian, memainkan peranan sebaliknya.

“Moorthu dan beberapa orang rakan politik, menjadi sebahagian punca kepada perbalahan tempoh hari (rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman November lalu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Reezal berkata, Kabinet punya tanggungjawab besar memperbetulkan keadaan.

“Suara sekutu politik PH sendiri yang turut menggesa Moorthy meletakkan jawatan memberi mesej yang sangat jelas. Kegagalan berbuat sesuatu dalam kadar segera akan memberikan gambaran yang sangat negatif kepada kerajaan sendiri.

“Saya tidak fikir Moorthy punya 'kewibawaan moral' lagi untuk menjadi anggota kerajaan. Rakyat menolak kemampuan Moorthy berfungsi sebagai menteri yang mengusahakan 'perpaduan'.

“Tindakan dan pemikiran beliau tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan kehendak rakyat,” katanya lagi.

Pada pertengahan November lalu, satu video lama, temuramah Moorthy dengan sebuah stesen televisyen luar negara tersebar dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila didapati isi kandungan temu ramah itu berbaur fitnah, menghina negara, mengandungi kenyataan palsu serta memburukkan negara pada mata dunia.

Kemarahan rakyat terus tercetus apabila Moorthy membuat kenyataan yang telah membangkitkan kemarahan masyarakat India sehingga keluar merusuh beramai-ramai pada hari ke dua insiden rusuhan kuil 27 November lalu, mengakibatkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim parah dan meninggal dunia selepas dirawat selama tiga minggu.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia