X

Kindly register in order to view this article
!

Mufti Perlis setuju larangan orang politik serah zakat

Mohd Asri
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersetuju dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melarang ahli politik menyerahkan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf di negeri tersebut.

Menurutnya, larangan itu bagi mengelakkan salah tujuan atau dijadikan kempen politik kepartian yang menyalahgunakan agama.

“Isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak. Isunya, jika ruang itu dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihan raya, ia akan dijadikan ruang untuk berkempen politik kepartian menggunakan agama, atau lebih khususnya zakat.

ARTIKEL BERKAITAN:

''Harta ibadah' wajar diagih pemimpin ahli ibadah juga'

Agih zakat: ZPP, MAINPP perlu ambil tindakan tegas

“Ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian merupakan musibah besar kepada umat ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 26 Mei lalu, tular di media sosial apabila ada pemimpin parti politik bukan Islam aktif menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan tertentu, khususnya asnaf.

Tindakan itu menerima kritikan dalam kalangan masyarakat kerana ada antara mereka berpendapat, penyampaian zakat haruslah diberikan kepada pihak berautoriti di negeri yang telah diamanahkan bagi menjalankan tanggungjawab tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, sepanjang beliau bertugas sebagai mufti, hanya Raja Perlis ataupun Raja Muda Perlis sahaja yang menyerahkan zakat.

“Jika tiada, maka orang yang diperkenankan oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Raja (Perlis) atau DYTM (Duli Yang Teramat Mulia) Yang Dipertua MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis).

“Pastinya mereka bukan dari kalangan orang politik. Dalam majlis pemberian zakat, mufti atau CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) MAIPs akan menyerahkan ke tangan Tuanku Raja atau Tuanku Raja Muda. Orang politik yang hadir boleh menjadi saksi bersama yang lain. Demikian jugalah majlis penerima zakat oleh MAIPs,” jelasnya.

Tambahnya, umat Islam hendaklah bekerja keras meminimumkan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda bersifat kelompok dan peribadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus