Warga Myanmar ditemukan mati dikelar

Wan Azharuddin
Wan Azharuddin
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan mati terbaring dalam keadaan leher dikelar di tempat parkir kenderaan di Kebun Kelapa di Jalan Jong Landor, Chenderiang, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pada jam 7.45 pagi, polis menerima panggilan awam mengatakan terjumpa satu mayat lelaki warga Myanmar terbaring dengan kesan kelar di leher di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mayat dijumpai dalam keadaan terbaring berseluar dan tidak berbaju, di atas lantai di hadapan sebuah rumah dalam keadaan leher terdapat kesan kelar di sebelah kiri.

"Polis menganggarkan panjang luka lebih kurang lima inci dan mangsa dipercayai mati lebih 10 jam.

"Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, namun pemilik kebun berdekatan memaklumkan mangsa warga Myanmar yang dianggarkan berumur 30-an dan bekerja di kebun.

"Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui dua bilah pisau," katanya kepada media di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, jarak jalan utama dengan tempat kejadian adalah lebih kurang 5 kilometer dalam kebun kelapa sawit itu.

Menurutnya, tempat kejadian merupakan sebuah rumah banglo ditinggalkan dua bulan lalu oleh pemiliknya yang berpindah ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di dalamnya tidak menemui sebarang penghuni.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.