Berniaga malam raya: PATUT rayu kerajaan timbang semula

Erena Shafika
Erena Shafika
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) merayu Kerajaan Negeri mempertimbangkan semula arahan peniaga bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, di sini, menamatkan operasi perniagaan esok.

Setiausaha Agong PATUT, Erena Shafika Wahab berkata, ini kerana sudah menjadi kelaziman orang ramai mendapatkan keperluan hari raya di saat akhir kerana hendak mendapatkan potongan harga daripada peniaga selain komitmen dengan kerja pada hari biasa.

"Kebanyakan pembeli mengambil kesempatan cuti hari raya untuk mendapatkan keperluan pagi Syawal. Suasana ini sudah menjadi kelaziman dan trend pengguna hari ini.

"Berdasarkan pemerhatian kami (PATUT), kemeriahan suasana membeli-belah pada saat-saat akhir ini dapat dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan dengan menawarkan potongan antara 20 hingga 70 peratus.

"Peniaga juga turut memanfaatkan situasi ini dengan membuat lelongan pada saat akhir kerana tahu pembeli akan merasa gembira untuk menikmati harga murah dan menghabiskan stok jualan mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Erena Shafika berkata, selain itu, pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bonus yang diberikan beberapa hari lalu membuatkan ramai yang memilih untuk membuat persiapan akhir terutamanya pada hujung minggu atau cuti hari raya.

Katanya, jika isu sampah menjadi persoalan utama, yang mana memerlukan pekerja pembersihan bekerja di pagi Syawal, Kerajaan Negeri Terengganu perlu menjalin hubungan dan konsultasi lebih awal dengan peniaga dengan memastikan atau mensyaratkan agar sampah dikutip secara bersama.

"Sebagai contoh pihak peniaga perlu menyediakan plastik sampah bagi memastikan kebersihan tapak jualan masing-masing dan sekiranya tidak dipatuhi, denda akan dikeluarkan atau nama peniaga tersebut disenarai hitam untuk mendapatkan tapak berniaga pada tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Kerajaan Negeri juga boleh menggunakan alternatif lain iaitu mendapatkan khidmat pembersihan pekerja bukan Islam untuk melakukan kerja-kerja pembersihan selepas operasi perniagaan pada pagi Syawal yang mana memberi laluan kepada pekerja pembersihan Islam juga beraya bersama keluarga," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bantah larangan niaga malam raya

Terdahulu, sekumpulan peniaga di Dataran Shahbandar, di sini, membantah arahan dikeluarkan kerajaan Terengganu supaya operasi perniagaan pada malam terakhir Ramadan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dihentikan.

Peniaga pakaian terpakai, Sukri Abu, 53, berkata, ia kerana malam sebelum Aidilfitri adalah peluang untuk mereka mendapatkan pelanggan setelah prestasi perniagaan 'suram' sepanjang hampir tiga minggu beroperasi.

"Biasanya, seminggu nak raya baru ramai pelanggan. Memang kerajaan baharu ni bagi kita niaga 29 hari, tetapi, tak berbaloi juga sebab pada permulaan Ramadan, niaga memang 'sakit'. Tak ada langsung pelanggan," katanya.