Sedia hadapi tindakan jika guna bahan terlarang!

No Image Caption
A
A
A

BERSEDIA untuk menghadapi tindakan jika anda didapati menggunakan bahan terlarang sebelum Sukan SEA 2019 di Filipina membuka tirai!

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema memberi amaran keras ini sekiranya mana-mana atlet kebangsaan gagal dalam ujian doping yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Beliau memberitahu bahawa MOM dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan menjalankan ujian doping awal sebelum Sukan SEA 2019 dengan sukan berisiko tinggi seperti angkat berat, renang, olahraga dan badminton berada dalam pemantauan.

"Kami akan menjalankan ujian doping melibatkan atlet kebangsaan sebanyak mungkin terutama untuk sukan berisiko tinggi kerana kami mahu mengelakkan atlet-atlet Malaysia daripada mengambil bahan terlarang kerana kami mengamalkan toleransi sifar mengenai perkara ini.

"Saya berharap atlet yang terpilih untuk Sukan SEA 2019 akan memberikan kerjasama sepenuhnya semasa ujian kerana kami mahu atlet bebas daripada menggunakan bahan terlarang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dr Cheema menggesa atlet kebangsaan supaya merujuk kepada pegawai Institut Sukan Negara (NSI) jika mereka ragu-ragu mengenai bahan yang mereka gunakan sama ada semasa latihan atau pertandingan. "Jangan sekali-kali mengambil apa-apa makanan tambahan tanpa merujuk kepada pegawai NSI dan jangan mendengar nasihat daripada orang luar yang menyatakan supplemen ini baik untuk prestasi dan sebagainya," kata Dr Cheema.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Adamas, Nishel Kumar ketika dihubungi Bernama, berkata, agensi itu akan terus memberi ceramah pendidikan kepada atlet kebangsaan untuk mengelakkan sebarang kes doping berlaku sebelum Sukan SEA 2019.

"Kami akan mengumumkan bilangan atlet yang akan menjalani ujian doping sebaik sahaja kami mendapat bilangan sebenar atlet yang beraksi pada 2019 Sukan SEA dari MOM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, tiga atlet termasuk penerjun wanita, Wendy Ng Yan Yee didapati menggunakan bahan terlarang semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan pingat mereka telah ditarik balik oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF). - Bernama