JPJ ketatkan pemantauan di Menora, Gua Tempurung

Para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak memeriksa pelbagai kenderaan pada Ops Khas Bersepadu Aidilfitri di Jalan Greentown malam tadi. Ops tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, (AADK). - FOTO BERNAMA
Para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak memeriksa pelbagai kenderaan pada Ops Khas Bersepadu Aidilfitri di Jalan Greentown malam tadi. Ops tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, (AADK). - FOTO BERNAMA
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak meningkatkan pemantauan dan rondaan di laluan Terowong Menora dan Gua Tempurung sepanjang pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2019 bermula 29 Mei hingga 13 Jun depan.

Pengarahnya, Severinus Tukah berkata, ia termasuklah penguatkuasaan secara menyeluruh memandangkan kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk berlakunya kemalangan maut.

"Rondaan statik kita lakukan di Terowong Menora dengan menempatkan anggota sepanjang masa di situ.

"Setakat ini, tiada kemalangan serius dilaporkan berlaku.

"Kita mengharapkan dengan kehadiran anggota kita di laluan-laluan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan terutama yang menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Operasi Khas Motosikal di Jalan Greentown malam tadi.

Menurutnya, zon rondaan melibatkan anggota JPJ adalah melibatkan laluan lebuh raya sepanjang 224 km dari Slim River yang bersempadanan dengan Selangor hinggalah Alor Pongsu (sempadan Pulau Pinang).

"Rondaan sama juga dilakukan di Jalan Persekutuan membabitkan 1,516 km dan jalan-jalan negeri sepanjang 25,000 km," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap 283 pemandu bas ekspres di terminal-terminal seluruh negeri bermula 29 Mei lalu berjaya mengesan dua kes pemandu bas berada di bawah pengaruh dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua pemandu berusia 40 dan 30 tahun itu positif dadah jenis ganja dan syabu ketika ujian air kencing dilakukan masing-masing di Terminal Meru Raya dan Terminal Teluk Intan.

"Penguatkuasaan terhadap pengangkutan awam antara strategi yang kita rancang, termasuklah penyamaran sebagai penumpang bas selain aduan awam dan aduan bergambar.

"Fokus kita juga adalah larangan ke atas kenderaan barangan yang dikuatkuasakan pada 1 hingga 3 Jun serta 8 hingga 9 Jun ini, setakat ini empat kesalahan direkodkan membabitkan kes di Manjung," katanya.

Severinus berkata, sepanjang empat hari pertama Op Hari Raya Aidilfitri dijalankan di negeri ini, sebanyak 639 notis dan saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan membabitkan pemeriksaan ke atas 322 kenderaan.

Bagi Op Khas Motosikal yang dijalankan selama dua hari bermula Sabtu lalu, sebanyak 627 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 1,420 motosikal.

Daripada jumlah itu katanya, pelesenan kenderaan menjadi kesalahan tertinggi iaitu 270 diikuti penunggang yang tidak mempunyai lesen (212).

"Ujian rambang air kencing yang dilakukan terhadap 28 penunggang juga mendapati, 10 daripadanya adalah positif," katanya.

Sepanjang musim perayaan ini, sebanyak 122 pasukan JPJ Perak bertugas dengan kekuatan 431 pegawai dan anggota, sementara kenderaan terlibat pula sebanyak 54 dengan tujuh merupakan motosikal.