Pemuda dikejar abang ipar dengan parang

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda berdepan detik mencemaskan apabila dikejar dengan parang oleh abang iparnya hanya kerana bertanyakan kenapa lelaki itu menyerang kakak dan ibunya sebelum ini, dalam kejadian di Kampung Aur, Chendering, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang berlaku selepas mangsa, 23, bertanyakan suspek, 30-an kenapa bertindak menyerang kakak dan ibunya dalam kejadian sebelum ini.

Menurut sumber, bagaimanapun, pertanyaan itu tidak dijawab suspek tetapi bertindak sebaliknya dengan mengambil parang didapur sebelum mengejar mangsa.

"Mangsa sempat menyelamatkan diri keluar dari rumah itu kerana bimbang keselamatan dirinya.

"Namun suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak melepaskan geram dan amarahnya dengan merosakkan motosikal jenis Honda milik mangsa yang ditinggalkan di luar rumah menggunakan parang dibawanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kata sumber, tidak berpuas hati dengan tindakan suspek, mangsa nekad membuat laporan polis setengah jam kemudian selain bimbang keselamatan diri dan keluarga terutama kakak dan ibunya pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Artikel Berkaitan: