Air bersih: Kerajaan Johor rancang guna tenaga pakar

 Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor merancang menggunakan tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi untuk meneroka serta mencari sumber baharu bekalan air bersih di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, ia dilakukan memandangkan di negeri ini kini hanya bergantung kepada sungai dan air takungan di beberapa empangan di mana ada kalanya bekalan berkenaan agak terhad.

Sehubungan itu, tenaga pakar di dua universiti utama di negeri ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ditagih untuk mencari sumber air bersih baharu berkenaan.

“Saya akan bertemu dan berbincang dengan beberapa pihak yang berkaitan, yang merancang untuk menggunakan air dari bawah tanah sebagai sumber alternatif bagi bekalan air bersih di Johor.

“Satu mesyuarat akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini bagi membincangkan kebaikan dan kelemahan menggunakan air dari bawah tanah ini, sekali gus jawatankuasa berkaitan juga bakal dibentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ‘Shopping Raya’ bersama 133 anak yatim dan keluarga miskin dalam kawasan DUN Parit Ya’ani, di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, dalam masa sama, pihaknya juga akan mencari lokasi sesuai bagi sumber air bawah tanah tersebut, di mana beliau percaya Johor sememangnya mempunyai banyak sumber air bawah tanah.

“Saya difahamkan UTHM terutamanya sememangnya mempunyai tenaga pakar berkenaan, di mana mereka pernah melaksanakannya bagi mendapatkan sumber air bersih ini di beberapa tempat di Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai EXCO Pendidikan, saya berharap UTHM dapat memberikan kerjasama dalam usaha ini, melalui pengalaman mereka dan tidak ketinggalan juga bagi UTM serta beberapa institusi pendidikan lain di negeri ini,” katanya. - Bernama