Ketua Wanita Cabang PKR letak jawatan perlu selesai cara baik

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Peletakan jawatan dua Ketua Wanita Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka diharap dapat diselesaikan menerusi perundingan secara baik dan muafakat demi keutuhan parti komponen Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, setiap isu yang berlaku mempunyai jalan penyelesaian, dan kepimpinan parti di peringkat tertinggi PKR khususnya Wanita PKR, pasti mempunyai kebijaksanaan menangani masalah yang berlaku.

"Kita lihat ia (peletakan jawatan) adalah isu dalaman PKR, dan saya yakin mereka dapat menyelesaikannya secara muafakat kerana ia merupakan cara terbaik dalam menangani setiap masalah yang berlaku.

"Di peringkat PH pun, prinsip muafakat ini menjadi pegangan kita agar hubungan antara parti dalam PH dapat diperkukuhkan, dan memberi manfaat secara bersama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasar Harapan Rakyat Anjuran Wanita PH Kota Melaka di Telok Mas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan dua ketua wanita cabang PKR Melaka, sekali gus didakwa berlaku pergolakan dalam PKR di negeri itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Ketua Wanita PKR cabang Tangga Batu, Rohanie Mahmud meletak jawatan dan menyertai UMNO manakala Ketua Wanita PKR cabang Kota Melaka, Lilla Madon meletak jawatan kerana faktor kesihatan.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kemuafakatan dalam parti penting bagi memastikan setiap perancangan yang dilakukan dapat dinikmati rakyat di setiap peringkat sekali gus memberi impak positif pada PH.

"Sebagai contoh penganjurkan Pasar Harapan Rakyat pada hari ini adalah bukti Wanita PH sentiasa memikirkan usaha untuk memajukan rakyat, negeri dan negara secara muafakat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: